Keadaan belakang rumah di Taman Halaman, Ampang yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh pada 9 Disember 2022. Foto Facebook Traffic Info Crew
PBTSELANGOR

Binaan kritikal di cerun perlu dikawal, elak tanah runtuh berulang

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 22 DIS: Pembinaan kritikal di cerun dan lereng bukit perlu dikawal pihak berwajib serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelak kejadian tanah runtuh berulang.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata kawalan membabitkan pembinaan yang sedang berlangsung atau masih dalam perancangan khusus di kawasan ada sejarah tanah runtuh.

Beliau menjelaskan ia termasuk keadaan topografi kawasan dan laporan pergerakan tanah yang memungkinkan tanah runtuh selain ketahanan benteng sedia ada.

“(Kawalan juga jika) terdapat aktiviti pertanian atau perhutanan di kawasan berdekatan sehingga memungkinkan kesan tanah runtuh berantai.

“Manifestasi iltizam PBT akan tertonjol dengan pelaksanaan kawalan bersungguh-sungguh dan pelaporan komprehensif secara berkala,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Pada 9 Disember lalu, seorang wanita warga emas antara enam individu yang terselamat dalam insiden tanah runtuh berketinggian sembilan meter di Taman Halaman, Ampang.

Dalam kejadian itu, rumah yang didiami mereka turut mengalami kerosakan.


Pengarang :