Pemain Harimau Malaya meraikan jaringan ketika menentang Maldives dalam perlawanan persahabatan menjelang saingan Piala AFF di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 14 Disember 2022. Foto Facebook FAM
AGENDASUKANKINI

Bola sepak: Lee Tuck, Aguero antara 23 pemain disenarai ke Piala AFF

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Jurulatih skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon telah menamakan skuad akhir 23 pemain untuk membawa cabaran Malaysia di saingan Piala AFF 2022 bermula 20 Dis hingga 16 Jan depan.

Ia menyaksikan empat daripada 28 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat sejak 29 Nov digugurkan, iaitu penjaga gol Azri Ab Ghani, pemain tengah Aliff Izwan Yuslan serta dua penyerang M. Kogileswaran Raj dan Ramadhan Saifullah Usman.

Selain itu, pemain pertahanan Dion Cools yang sedang beraksi bersama FK Jablonec di liga utama Republik Czech, tidak dapat menyertai skuad pada kali ini kerana urusan peribadi, menurut kenyataan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Menurut senarai yang dikeluarkan itu, dua pemain naturalisasi – Lee Tuck dan Sergio Aguero – akan bergandingan dengan Muhammad Safawi Rasid, Mohamad Faisal Abdul Halim, Darren Lok dan Muhammad Haqimi Azim Rosli di jentera serangan.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Yangon pada Isnin (19 Dis) bagi memulakan kempen Kumpulan B Piala AFF bertemu Myanmar pada 21 Dis, diikuti perlawanan menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (24 Dis), Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan Singapura di Bukit Jalil (3 Jan).

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Jan dan 9 atau 10 Jan, manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Jan.

Berikut senarai penuh pemain:

Sharul Nazeem Zulpakar, Quentin Cheng, Fazly Mazlan, Brendan Gan, Mukhairi Ajmal Mahadi, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, Nor Hakim Hassan, Dominic Tan, Stuart Wilkin, Darren Lok, Rahadiazli Rahalim, Azam Azmi Murad, Faisal Halim, David Rowley, Lee Tuck, Sergio Aguero, Syihan Hazmi Mohamed, Khuzaimi Piee, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, V Ruventhiren, Nur Shamie Iszuan Amin, Haqimi Azim Rosli, Safawi Rasid

— BERNAMA


Pengarang :