Orang ramai meluangkan masa bersama kaum keluarga dengan melakukan aktiviti berkelah dan mandi-manda di Lata Ulu Kasar, Setiu, Terengganu pada 4 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba: Henti rekreasi, berkelah di kawasan berisiko ketika tengkujuh

JOHOR BAHRU, 13 DIS: Orang ramai diminta untuk menghentikan sementara aktiviti rekreasi dan perkelahan terutama di kawasan yang berisiko lemas dan kerap berlaku fenomena kepala air ketika musim tengkujuh ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata antara kawasan berisiko adalah di gunung, sungai, jeram dan pantai.

“Berikutan cuti sekolah sudah bermula dan keluarga serta komuniti mungkin akan melakukan aktiviti rekreasi dan berkelah, jadi kita meminta dalam keadaan seperti ini (musim tengkujuh) hentikan dahulu.

“Terutama di kawasan berisiko yang kerap berlaku kepala air, begitu juga di kawasan cerun dan pantai yang mungkin jerlus, angin dan ombak kuat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2021) Zon Selatan, di sini hari ini.

Mohammad Hamdan berkata pihaknya turut mengenal pasti 186 lokasi panas kejadian kepala air dan 254 cerun kritikal di seluruh negara.

Sementara itu, berkenaan banjir, beliau berkata secara keseluruhan terdapat 4,795 lokasi panas yang telah dikenal pasti di seluruh Malaysia terutama negeri di pantai timur.

Justeru, beliau menasihati orang ramai khususnya yang berada di kawasan berkenaan agar sentiasa bersiap bersedia dan peka dengan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa sekali gus memastikan dokumen penting berada dalam keadaan selamat.

Orang ramai katanya juga perlu merancang perjalanan berikutan risiko jalan terputus hubungan dan jejambat dinaiki air.

Beliau pada masa sama berkata pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan bersiap siaga susulan banjir ketika ini melanda lima negeri iaitu Pahang, Perak, Terengganu, Johor, Kelantan, dengan seramai 2,763 mangsa ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita juga setiap empat jam mendapatkan maklumat berhubung keadaan cuaca dan paras air menerusi kolaborasi yang rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :