Pandangan dari udara lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 16 Disember 2022. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor
AGENDANASIONAL

Bomba: Runtuhan tanah setinggi 30 meter, libat keluasan tiga ekar

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 16 DIS: Kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali awal pagi tadi melibatkan runtuhan setinggi 30 meter dengan keluasan runtuhan tiga ekar.

Menurut kenyataan di laman Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, kejadian yang berlaku di tepi jalan itu telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan.

“Sehingga pukul 12 tengah hari ini, sebanyak 94 mangsa disahkan berada di tapak perkhemahan semasa kejadian dengan 61 mangsa terselamat iaitu 53 mangsa tiada kecederaan atau cedera ringan, tujuh dihantar ke hospital dan seorang lagi berada di lokasi.

“Sebanyak 13 mangsa lagi meninggal dunia iaitu lapan wanita dewasa, dua lelaki dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. Pencarian masih dijalankan ke atas 20 mangsa,’’ katanya.

JBPM Selangor memaklumkan usaha mencari dan menyelamat sedang dilaksanakan dengan bantuan agensi lain seperti bomba sukarela, bomba swasta, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).


Pengarang :