Anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bomba: Runtuhan tebal, berlumpur sukarkan operasi cari dan menyelamat

BATANG KALI, 17 DIS: Runtuhan tanah yang tebal, berlumpur dan berbatu menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) 12 lagi mangsa yang belum ditemukan dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata selain itu aliran air turut menyulitkan operasi itu yang memasuki hari kedua.

Beliau berkata sehingga kini lokasi tepat 12 mangsa hilang masih belum dikenal pasti namun penemuan peralatan perkhemahan dan barangan peribadi menjadi petunjuk penting.

“Menerusi kaedah menggali pasukan SAR akan mengenal pasti tanda seperti peralatan khemah di mana ada bersama mereka seperti selimut hammock.

“Berkemungkinan ketika kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi dan mangsa sedang tidur dan tidak sempat menyelamatkan diri kerana kesuntukan masa dan kejadian berlaku dengan pantas,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Ditanya peluang mangsa ditemukan dalam keadaan selamat, beliau tidak menolak kemungkinan masih ada mangsa yang terselamat sekiranya mereka berpaut pada timbunan batu atau pokok yang mempunyai ruang untuk mereka bernafas.

“Tapi berdasarkan tempoh kejadian sudah lebih 24 jam dengan pemerhatian keadaan runtuhan tanah yang tebal, berlumpur, berbatu serta masih terdapat berlaku aliran air harapan untuk mangsa ditemukan selamat agak tipis,” katanya.

Norazam berkata setakat ini, mangsa yang ditemukan ada yang tertimbus tanah dengan kedalaman antara tiga hingga lima kaki (0.91 hingga 1.52 meter), selain ada yang ditemukan dengan bahagian badan yang kelihatan di permukaan tanah.

Anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor

Katanya operasi SAR hari ini melibatkan 135 anggota daripada pelbagai agensi selain menggunakan khidmat tujuh anjing pengesan serta jentera berat untuk mencari mangsa tertimbus.

Sementara itu, beliau berkata operasi pada hari kedua ini akan diteruskan selama 24 jam namun akan ditangguhkan sekiranya berlaku hujan lebat atas faktor keselamatan pasukan SAR.

“Operasi akan diteruskan sehingga kesemua mangsa dijumpai sehingga hari ketujuh dan operasi selepas itu akan dimaklumkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah yang mengetuai operasi SAR memaklumkan kesemua mangsa yang maut belum dikenal pasti.

Katanya kesemua mayat yang ditemukan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ketika dijumpai dan meminta waris yang kehilangan keluarga untuk membuat laporan polis.

Dalam insiden sekitar 2.42 pagi semalam, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Jalan Genting-Batang Kali di sini.

Setakat tengah malam tadi, 12 orang dilaporkan masih hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.

– BERNAMA


Pengarang :