Anggota Bomba dan Penyelamat Dengkil melakukan proses memindahkan anggota keluarga termasuk kanak-kanak yang terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Sri Tanjung, Dengkil pada 17 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba Selangor: Pusat kawalan hadapan di lokasi risiko banjir, percepat operasi menyelamat

SHAH ALAM, 13 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mendirikan tiga pusat kawalan hadapan (PKH) di lokasi kritikal berlakunya banjir, iaitu di Batu 14 dan Sungai Lui, Hulu Langat dan Taman Sri Muda di sini, sebagai langkah bagi mempercepatkan pergerakan operasi menyelamat.

Pengarahnya Datuk Norazam Khamis berkata inisiatif itu, dilaksanakan bagi menghadapi musim monsun timur laut pada tahun ini dan dibuat berdasarkan pengalaman banjir besar pada tahun lalu, ekoran masa yang lama diambil untuk bergerak dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ke lokasi banjir, terutamanya ke Taman Sri Muda.

Malah beliau berkata tempoh perjalanan ke lokasi bencana turut bertambah, apabila anggota bomba juga terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan perlu membawa aset seperti bot.

“Kita bersedia dari sekarang dengan dirikan khemah dan tempatkan anggota bomba, jentera dan bot di PKH. Jadi kita berada lebih dekat dengan lokasi contohnya di Taman Sri Muda, kita boleh tiba ke lokasi dalam lima minit berbanding tempoh masa yang boleh mencecah lebih 30 minit untuk ke lokasi dari BBP, jika jalan sesak,” katanya kepada Bernama.

“PKH ini beroperasi sejak bulan lepas dan beroperasi selama 24 jam dengan anggota yang bertugas bertukar silih ganti setiap 12 jam. PKH ini dibuka secara sementara sehingga tamat musim monsun timur laut,” katanya.

Norazam berkata PKH tersebut turut dilengkapi dengan aset bomba seperti kereta pacuan empat roda, bot dan jentera bomba bagi tujuan operasi menyelamat segera.

Selain itu katanya pihak bomba turut bekerja sama dengan syarikat lantikan kerajaan negeri seperti KDEB Waste Management (KDEBWM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“KDEBWM menyediakan kemudahan seperti khemah manakala PBT seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan keperluan asas seperti bekalan air, tandas bergerak kerana kami bersiap siaga dalam tempoh lama di lokasi tersebut.

“Jika bencana (banjir) berlaku, mereka (PBT) melalui Skuad Pantas akan terus ke PKH dan menyokong operasi kami,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :