Hujan lebat berterusan sejak awal pagi pada 16 Oktober 2022 menyebabkan ombak besar dan beberapa kawasan, jalan raya serta kediaman di enam kampung di lima mukim di Langkawi terjejas akibat banjir kilat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba siap siaga hadapi musim tengkujuh, jalani pelbagai latihan sejak Oktober

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga dalam menghadapi ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) atau tengkujuh termasuk mengadakan latihan berterusan sejak Oktober dan kolaborasi bersama agensi bencana yang lain.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Kebombaan, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM Jamri Masran berkata latihan itu amat penting dalam menghadapi senario sebenar ketika banjir berlaku.

“Aset juga memainkan peranan penting, ia juga perlu sentiasa diperiksa dan diselenggara bagi memastikan sebarang peralatan, aset-aset di darat dan aset-aset marin seperti bot dan sebagainya boleh dikerahkan ketika melakukan operasi semasa banjir,” katanya dalam temu bual progam Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 hari ini.

Selain itu, beliau berkata pegawai kanan bomba turut diberikan arahan untuk melakukan naziran di balai-balai bomba bagi memeriksa kesiapsiagaan para pegawai dan aset-aset bomba selain memberikan motivasi kepada mereka dalam menjalankan tugas.

Menurutnya, di balai bomba juga mereka peka dengan sebarang informasi terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membolehkan bomba berada dalam mod siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

“Di negeri, kami ada Pusat Gerakan operasi manakala di ibu pejabat, kami ada Pusat Pengurusan Operasi yang mana kami mempunyai informasi terbaharu daripada MetMalaysia dan JPS tentang situasi semasa akan disalurkan ke balai-balai bomba.

“Bagi pegawai dan anggota bomba, mereka akan lakukan kajian kawasan di kawasan persekitaran mereka. Jika mereka berhampiran dengan sungai atau laut, mereka perlu tahu pasang surut kawasan perairan itu termasuk dengan keadaan pembangunan setempat selain berhubung rapat dengan komuniti sekitar,” katanya.

Jamri berkata Oktober lepas, JBPM turut melancarkan Pasukan Gerak Cepat bagi memantapkan lagi persiapan serta persediaan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan yang lebih efisien dalam menghadapi MTL.

Katanya, pasukan itu ditempatkan di 11 negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta dua buah Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah dan Wilayah Utara.

“Komposisi anggotanya tidak kurang dalam 15 orang dan disertakan dengan kelengkapan termasuk bot ringan. Ia sangat perlu bagi proses menghulurkan bantuan dan pemindahan mangsa dan mereka boleh bergerak dengan cepat,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :