Pesawah menanam padi di Sungai Leman, Sekinchan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Bukan mahu roboh empayar Syed Mokhtar, rundingan untuk bantu pesawah miskin

PUTRAJAYA, 6 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata isu monopoli import beras yang dikuasai tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary tidak harus dipolitikkan kerana usaha itu berniat membantu pesawah miskin.

Anwar berkata beliau berbincang baik dengan Syed Mokhtar yang telah bersetuju memberi balik RM10 juta bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan kepada petani.

“… dan akan berunding semula dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagaimana Padiberas Nasional Bhd (Bernas) boleh memberi jaminan keselesaan dan keadilan kepada pesawah padi yang miskin,” kata beliau pada sidang media selepas memulakan tugas sebagai Menteri Kewangan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Anwar hanya berani menegur Syed Mokhtar berbanding tokoh korporat terkaya di Malaysia yang lain kerana beliau Melayu dan mudah dibuli.

Anwar berkata keputusan yang diambilnya bukan mudah kerana terpaksa berdepan dengan konglomerat sama seperti keputusan yang diambil untuk mengurangkan kekerapan cabutan khas perjudian daripada 22 kali kepada lapan kali yang menyebabkan segelintir pihak berkata beliau anti Cina kerana melibatkan syarikat-syarikat Cina.

“Saya tidak ambil kelulusan tanpa berunding. Saya kenal dia dan saya tahu dia syarikat besar, bukan maksud saya nak robohkan empayar dia tetapi saya kata buatlah keuntungan dan saya beri jaminan mana-mana pelabuhan di Tanjung Pelepas yang saya akan arahkan Kementerian Pengangkutan dan MOF akan cari jalan bantu supaya dapat diperbaiki dan ditambak,” kata beliau.

Anwar berkata apabila ada perniagaan yang melibatkan kepentingan rakyat miskin termasuk pesawah padi yang berada di Kedah merupakan orang Melayu paling miskin dalam negara, beliau perlu mengambil langkah sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk membantu golongan tersebut.

Anwar sebelum ini membidas tindakan kerajaan ketika itu melanjutkan tempoh konsesi Bernas yang mempunyai kuasa untuk memonopoli import beras.

“Langkah saya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri cari jalan bagaimana ini boleh dilakukan kerana kelulusan itu tidak tepat dari awal. Saya tahu sesiapa yang dapat keuntungan dan dia (Syed Mokhtar) pun setuju dengan mudah, tidak sempat jumpa telefon sahaja.

“Saya ucap terima kasih kepada dia juga tetapi saya kata untuk menjamin masa depan pesawah padi miskin saya ambil langkah untuk berunding dengan dia dan cuba bantu. Saya tak faham mengapa ini menjadi masalah. Sudah berpuluh tahun dah Bernas ini, ini kali pertama saya kata cukuplah,” kata beliau.

Anwar berkata perundingan secara teliti akan membawa faedah yang lebih baik kepada pesawah miskin.

Perdana Menteri semalam berkata kerajaan pimpinannya akan meneliti isu monopoli import beras yang dikuasai Syed Mokhtar serta meneliti keuntungan beliau yang membeli pegangan Bernas milik Tan Sri Tan Boon Seng dengan harga RM800 juta dan Datuk Seri Shahidan Kassim (RM400 juta).

– BERNAMA


Pengarang :