Mia Qistina Elsa Anuar dan Mia Qalisha Khadra Anuar mecuba buku jom solat di rerurai Blindspot Studio di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) pada 6 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Buku didik solat tiga dimensi tarik minat pengunjung pesta buku negeri

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 7 DIS: Blindspot Studio penerbit siri animasi Alif & Sofia tampil berbeza di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) apabila menawarkan buku didik solat ‘pintar’.

Buku Interaktif Realiti Perantara (Augmented Reality) Jom Solat yang dilengkapi dengan aplikasi telefon pintar itu menarik minat pengunjung.

“Buku ini dilengkapi dengan kandungan 3D Realiti Perantara yang boleh diakses menggunakan aplikasi pada telefon pintar,” kata Ketua Strategik Kreatifnya Ellyna Zakaria ketika ditemui Selangorkini semalam.

“Setakat hari ini, jualan harian mencecah dua ribu, walaupun fokus sebenar untuk memperkenalkan produk kepada umum.”

Pempamer Amir Wahid abd latiff di rerurai Gempakstarz ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) pada 6 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Manakala, Syarikat Gempak Starz yang menerbitkan Majalah Komik Gempak dan Komik Lawak Kampus tidak menjangkakan sambutan yang diterima amat memberangsangkan.

“Memang kita sasar (jualan) pelajar sekolah, tak jangka sambutan begitu baik,” kata Eksekutif Pemasarannya Amir Wahid Abd Latiff.

“Anggaran jualan mencecah RM 30,000 setakat hari ini, jualan harian kira-kira RM 5,000 – 6,000 sehari.”

Pempamer, Adib Nuqman menunjukkan sebahagian dari koleksi buku yang ada di Bakazon ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) pada 6 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sementara itu, syarikat Bekazon yang menerbitkan majalah popular 90-an Ujang dan Apo? turut mendapat sambutan menggalakkan.

“Komik grafik Koleksi Lambok paling laris. Setakat 6 hari, jualan keseluruhan menjangkau sekitar RM 20 – 30 ribu,” kata Eksekutif Pemasarannya Mohd Faizan Karim.

SIBF 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam sejak 1 hingga 11 Disember, bermula 10 pagi hingga 10 malam.

SIBF anjuran Kerajaan Negeri dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor sebagai urusetia julung kali diadakan hasil kesinambungan Pesta Buku Selangor yang diadakan sejak 2006.

Selain pameran dan jualan buku, pelbagai aktiviti menarik melibatkan pelajar dan kanak-kanak turut diadakan selain jualan pelbagai jenis makanan dan barangan.

Terdapat 295 gerai pameran dibuka dengan 13 daripadanya adalah gerai antarabangsa melibatkan China, Singapura dan Indonesia.

Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam menerima sambutan menggalakkan termasuk pada hari bekerja ketika tinjauan pada 6 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :