Mia Qistina Elsa Anuar dan Mia Qalisha Khadra Anuar mecuba buku jom solat di rerurai Blindspot Studio di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) pada 6 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Buku kanak-kanak pilihan ibu bapa di pesta buku negeri, akui harga berbaloi

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 9 DIS: Ibu bapa tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai bahan bacaan untuk anak mereka di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022.

Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah Prof Madya Dr Nabila Azwa Ambad, 41, teruja buku kanak-kanak yang dijual di pesta buku negeri ini pelbagai jenis selain interaktif dan menarik.

“Di Sabah tidak banyak pilihan seperti ini. Kebetulan saya ada urusan di Klang dan sebaik tiba dari Sabah saya terus ke sini. Memang mahu beli buku untuk anak-anak yang berusia empat dan 13 tahun.

“Ternyata memang tepat pilihan saya, bila datang memang tidak menyesal kerana terlalu banyak pilihan menarik dan interaktif. Orang Semenanjung terutama Selangor patut hargai ada pesta buku seperti ini,” katanya kepada Selangorkini semalam.

Rabiatul Adawiyah Tumino, 24, mengakui buku kanak-kanak dijual lebih murah dan tidak melepaskan peluang mendapatkan bahan bacaan untuk empat anak buahnya.

“Harga lebih murah daripada kedai dan terlalu banyak pilihan membuatkan pembelian di pesta buku ini memang berbaloi,” katanya.

Pendapat sama turut dikongsi penjawat awam Asrul Shuhada Mohd Salleh, 41, yang membeli pelbagai buku untuk dua anaknya berusia tujuh dan lapan tahun selepas melihat di media sosial.

SIBF yang berlangsung 1 hingga 11 Disember merupakan hasil kesinambungan Pesta Buku Selangor sejak 2006 yang menampilkan pempamer luar negara seperti China, Singapura (membawa buku dari United Kingdom dan Amerika Syarikat) serta Indonesia.

Manakala tujuh felo didatangkan khas dari United Kingdom, Macedonia, Korea Selatan, Mesir dan Indonesia bagi program Kandungan Kanak-Kanak Antarabangsa Selangor.

Nurul Syaidatul Husna Muhamad Syafek menunjukkan buku yang laris dijual PTS Media Group pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 5 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :