Ketua Bahagian Operasi Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Worldwide Holdings Nor Haszma Mohd Hashim (dua, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SWCorp Ismail Mokhtar, Jurutera Operasi Worldwide Landfills Sdn Bhd Mohamad Fadzly Rashim dan Timbalan CEO (Pengurusan) SWCorp J Murali (kiri) dalam Majlis Malam Apresiasi Keluarga 3R di Arau, Perlis pada 3 Disember 2022. Foto Worldwide Holdings
AGENDANASIONALSELANGOR

Cemerlang urus sisa pepejal, Worldwide Holdings terima anugerah bintang SWCorp

SHAH ALAM, 10 DIS: Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) merangkul Anugerah Penarafan Bintang bagi Kemudahan Pengurusan Sisa Pepejal dalam kategori Pengurusan Fasiliti Terbaik daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), 3 Disember lalu.

Anugerah itu diterima Ketua Operasi Tapak Pelupusan Sisanya Nor Haszma Mohd Hashim pada Malam Apresiasi Keluarga 3R sempena sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2022 berlangsung di Arau, Perlis.

Ia memberi penarafan dan pengiktiran kepada Worldwide Holdings yang mempamerkan prestasi cemerlang bagi pengurusan pengoperasian Loji Rawatan Air Larut Resap (LTP) di Ladang CEP, Simpang Renggam, Johor.

Nor Haszma berkata pihaknya memiliki kepakaran lebih 25 tahun dalam pengurusan logi berkaitan dipilih sebagai operator LTP di ladang itu bagi membantu Kerajaan Johor menyelesaikan isu pencemaran sungai.

Memurutnya, pencemaran berpunca dari tumpahan air larut resap (leachate) menyebabkan operasi Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP di Simpang Renggam ditutup oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 26 Mac 2019.

“Jadi anugerah dari SWCorp sangat bermakna buat Worldwide Holdings kerana selain mengiktiraf kepakaran kami dalam pengurusan (LTP), ia turut menghargai usaha dan inisiatif kami dalam amalan pengurusan sisa pepejal terbaik serta penglibatan aktif syarikat bagi memastikan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Worldwide Holdings terpilih sebagai penerima anugerah susulan proses penilaian dilaksanakan di 37 kemudahan PSP di bawah seliaan SWCorp merangkumi tapak pelupusan sanitari, tapak pelupusan terbuka, loji rawatan air larut resap, stesen permindahan dan insinerator.

Sebanyak 23 sektor komersial, perindustrian dan keinstitusian (CII) telah menerima penarafan dan pengiktirafan dalam amalan terbaik pengurusan sisa pepejal daripada keseluruhan penyertaan sebanyak 250 sektor CII di majlis tersebut.

Prestasi cemerlang Worldwide Holdings tahun ini turut menyaksikannya menerima pengiktirafan bagi pengurusan sumber manusia dan penglibatan syarikat dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Selain anugerah daripada SWCorp, Worldwide Holdings juga menerima Anugerah Rakan Strategik 2022 daripada Lembaga Zakat Selangor dan Anugerah Majikan Terbaik 2021 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.


Pengarang :