Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Penutup “Capacity Building” Gerak Gempur SPM 2022 di SJKT Ladang Midlands Shah Alam pada 29 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dana jutaan ringgit bantu masyarakat India, elak tercicir dari pendidikan

SHAH ALAM, 29 DIS: Nasib masyarakat India khususnya dalam pendidikan terus dibela bagi memastikan golongan itu tidak tercicir dalam pembelajaran, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri yang diterajui Pakatan Harapan sejak 2008 turut berusaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat secara teliti dan terperinci.

“Pelbagai usaha kita lakukan antaranya kita berjaya selesaikan isu tanah di sebuah ladang di Tanjong Karang yang dialami sejak 40 tahun lalu dan Kampung Indian Settlement Batu Caves.

“Begitu juga bidang pendidikan, sejak memerintah kita peruntuk RM6 juta hingga RM8 juta namun kini mencecah RM26 juta yang mana untuk sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT) RM5 juta,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis penutupan ‘Capasity Building’ Gerak Gempur Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 anjuran Majlis Perundingan Masyarakat India Selangor (SICC) di sini hari ini.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan Kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM26.5 juta tahun ini kepada sekolah rendah dan menengah di negeri ini untuk menambah baik infrastruktur.

Sebanyak RM9.3 juta diberikan kepada sekolah rendah agama, RM9 juta untuk sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan RM4.5 juta bagi SJK Tamil.

 


Pengarang :