Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan di Majlis Apresiasi Jelajah Ehsan Rakyat di Wisma PKPS, Shah Alam pada 13 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dana RM15 juta teruskan jualan murah, manfaat 800,000 penduduk

SHAH ALAM, 13 DIS: Peruntukan  antara RM10 hingga RM15 juta disediakan bagi meneruskan program jualan murah selama tiga bulan mulai 15 Januari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 yang menawarkan produk harga lebih rendah daripada pasaran memanfaatkan kira-kira 800,000 penduduk.

Beliau berkata kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dibuat bagi menyediakan lebih banyak produk disediakan.

“Saya juga akan berbincang dengan pembekal bagi membolehkan roti dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran.

“Program ini bersifat sementara. Mungkin maksimum sehingga tiga bulan atau menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya dalam majlis penghargaan JER di sini hari ini.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Kuang di Dataran Setia, Kampung Setia, Kuang pada 30 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
Amirudin berkata program itu mungkin diadakan lebih dari sembilan daerah sehari dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor (KoHijrah).

“Fama dan KoHijrah memiliki kemudahan lain seperti tapak niaga dan lori. Kalau ada keperluan, kita tambah memandangkan ramai penduduk mahu program diadakan lebih kerap,” katanya.

Amirudin menambah program yang berlangsung antara September hingga November memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk negeri.

Katanya, jualan murah barangan asas fasa pertama melibatkan 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mencatat nilai jualan melebihi RM16 juta.

“Program ini membabitkan subsidi lebih RM5 juta. Dengan jumlah ini, kita bantu ramai penduduk meringankan beban untuk belanja dapur,” kata beliau.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk menjayakan jualan murah membabitkan sembilan daerah setiap hari antara 6 September hingga 6 Disember.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor menawarkan barang keperluan antaranya ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual, ikan kembung atau selayang dengan harga RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :