EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dana RM200,000 bantu licinkan operasi rumah perlindungan wanita

SHAH ALAM, 2 DIS: Sejumlah RM200,000 diperuntuk kepada rumah perlindungan wanita negeri ini bagi melancarkan operasi pusat jagaan itu, kata EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud, inisiatif Geran Rumah Lindungan yang diperkenal sempena sambutan Hari Keganasan Wanita Antarabangsa juga bagi membanteras penderaan terhadap golongan terbabit.

“Geran ini dapat membantu rumah perlindungan sedia ada selain mewujudkan ekosistem dengan pemanggil melalui Talian SELamat. Permohonan boleh dibuat menerusi Wanita Berdaya Selangor.

“Menerusi skim ini, bantuan boleh diguna untuk menambah baik fasiliti atau kos operasi demi menampung kelangsungan hidup penghuni,” katanya pada sidang media di Dewan Annex hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Selangor juga bakal menganjurkan aktiviti larian Jingga Selangor Fun Run sebagai kempen kesedaran keganasaan seksual dalam kalangan wanita pada 18 Disember.

“Dalam masa sama, kita menggalakkan individu tertindas untuk memohon bantuan guaman sebagai langkah membantu mereka mendapatkan hak,” kata Dr Siti Mariah.

Selangor muncul negeri pertama menyediakan bantuan guaman percuma kepada rakyat berpendapatan rendah dengan peruntukan berjumlah RM1 juta mulai tahun ini.

Minggu lalu, ketika membentang Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan skim terbabit turut diperluas kepada kes syariah.

 

 


Pengarang :