Pengguna Bas Smart Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum menaiki pengangkutan awam itu di hentian bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dana RM25 juta laksana perkhidmatan Bas Smart Selangor, van transit

SHAH ALAM, 2 DIS : Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM25 juta bagi memperkasa pengangkutan awam di bawah program Selangor Mobiliti pada tahun depan.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata daripada jumlah itu sebanyak RM22 juta diberi kepada 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meneruskan pelaksanaan Bas Smart Selangor.

“Manakala, baki RM3 juta lagi bagi pelaksanaan Selangor Mobiliti Fasa Pertama yang merangkumi van transit atas permintaan (Demand-Responsive Transit) atau DRT.

“Sebanyak enam cadangan zon DRT melibatkan enam PBT iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan Belanjawan Selangor 2023 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurutnya, semua zon cadangan merupakan kawasan yang mempunyai satu atau lebih hub transit untuk membolehkan penggunaan perkhidmatan DRT sebagai ‘first mile last mile service’.

“Laluan yang dipilih akan mengambil kira laluan kecil dan sempit yang tidak boleh dicapai dengan penggunaan bas sedia ada. Untuk fasa pertama, sebanyak empat jumlah kenderaan berkapasiti 10-15 tempat duduk bagi setiap zon dicadangkan,” katanya.

Perkhidmatan Bas Smart Selangor ditawarkan secara percuma kepada rakyat tempatan manakala warga asing perlu membayar 90 sen mulai 15 Mac lalu menerusi aplikasi Citizen E-Payment (CEPat).

Pada 25 November, Dato’ Menteri Besar mengumumkan perkhidmatan van transit akan dilaksanakan suku pertama tahun depan bagi melengkapkan ekosistem pengangkutan awam negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan perkhidmatan dengan kos RM25 juta melengkapi sistem Bas Smart Selangor yang tidak mampu untuk mencapai laluan sempit dan berkepadatan tinggi.

Beliau memaklumkan menjelaskan van transit berfungsi berdasarkan permintaan menerusi aplikasi penghalaan pintar, bukan seperti bas henti-henti.

 


Pengarang :