EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau menyampaikan cek cura kepada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Siswa Siswi Selangor, Razik Ali (kanan) pada Majlis Penyampaian Danasiswa Pekerjaan Selangor. Turut hadir Adun Pandamaran Tony Leong Tuck Chee di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 4 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Danasiswa Pekerjaan Selangor beri peluang tambah kemahiran, jaminan kerjaya

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KLANG, 4 DIS: Inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan program Danasiswa Pekerjaan Selangor bukan saja memberi jaminan pekerjaan kepada rakyat malah peluang menambah kemahiran.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Siswa Siswi Selangor, Razik Ali berkata menerusi inisiatif itu pihaknya melaksanakan beberapa program yang memberi manfaat tambahan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada pelatih.

“Sebagai contoh menerusi dana ini kami buat kerjasama dengan syarikat untuk memberi peluang latihan dan jaminan kerjaya kepada individu terpilih.

“Mereka yang berminat akan melalui proses temuduga untuk menentukan kelayakan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Danasiswa Pekerjaan Selangor, hari ini.

Majlis penyampaian Danasiswa Pekerjaan Selangor kepada Pertubuhan Kebajikan Siswa Siswi sebanyak RM19,750 disempurnakan EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau yang memanfaatkan 75 individu untuk program latihan dan jaminan kerjaya dalam sektor automotif.

Turut disediakan pada majlis itu adalah kaunter permohonan Bikecare-1000 iaitu bantuan bayaran pendahuluan pembelian motosikal untuk pekerja gig (p-hailing).

Sementara itu, pemohon Bikecare-1000, P Ragu, 35, berharap permohonannya diluluskan memandangkan motosikal yang digunakan kini sudah berusia 12 tahun dan kerap mengalami kerosakan.

P Ragu

“Saya sudah dua tahun bekerja sebagai pekerja gig (p-hailing) selepas berhenti sebagai pemandu lori ketika pandemik Covid-19, jadi saya harap jika bantuan ini diluluskan, saya boleh dapat motosikal baru untuk memudahkan kerja,” katanya.


Pengarang :