Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid membaca ikrar aku janji sempena upacara mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-10 di Dewan Perbandaran, Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 5 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Datuk Bandar: Pelan tindakan atasi banjir di Shah Alam diluluskan, libat kos RM14.64 juta

SHAH ALAM, 5 DIS: Kerajaan Negeri meluluskan beberapa projek mengatasi isu banjir di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD).

Datuk Bandarnya Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata projek itu meliputi menaik taraf rumah pam di Seksyen 13 dan Seksyen U1 selain pembinaan rumah pam di Persiaran Aman serta infrastruktur di Taman Sri Muda, Seksyen 25.

Beliau memaklumkan turut diluluskan ialah pembinaan rumah pam di Jalan Saksama 25/29 dan Jalan Khidmat 25/35 serta baik pulih sistem pembentungan di sebahagian Kampung Bukit Naga, Seksyen 32.

“Projek ini telah diiklankan secara tender dengan kos RM14.64 juta. Melalui pelaksanaannya, ia akan memberi harapan kepada penduduk terutama di kawasan titik panas banjir selain berasa selamat untuk mendiami kediaman,” katanya hari ini.

Berucap selepas mengangkat sumpah jawatan Datuk Bandar Shah Alam ke-10 di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA di sini, beliau berkata program mitigasi banjir seperti SASuD perlu dipergiat di bandar raya tersebut.

“Shah Alam dilanda musibah banjir akhir tahun lalu. Pelan tindakan ini dilaksana secara jangka pendek dan berfasa,” katanya.


Pengarang :