Penggulungan Belanjawan Selangor 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 6 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dewan Negeri Selangor lulus usul belanjawan RM2.45 bilion

SHAH ALAM, 6 DIS : Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan Belanjawan Selangor 2023 berjumlah RM2.45 bilion yang dibahaskan bermula 28 November lalu.

Speaker Ng Suee Lim berkata kelulusan melibatkan perbelanjaan pengurusan berjumlah RM1.25 bilion serta perbelanjaan pembangunan sebanyak RM1.2 bilion.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Ng Suee Lim bercakap kepada media selepas penangguhhan sidang DNS di Bangunan Annex, Shah Alam pada 6 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Usul perbelanjaan ini dibentang selepas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2023 pada 25 November.

“Lebih 20 wakil rakyat membahaskan usul ini secara keseluruhan dan (belanjawan) yang kita luluskan adalah untuk kebaikan dan kepentingan rakyat Selangor pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sidang DNS di sini hari ini.

Suee Lim menjelaskan turut diluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Pindaan) 2022, RUU Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2022 dan RUU Enakmen Peruntukan Diraja (Pindaan) 2022.

Selain itu, katanya Usul Dasar Modal Insan Selangor dan enam Penyata Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Tetap DUN Selangor antaranya pembasmian kemiskinan, pemasangan lampu jalan solar dan akses pendidikan awal kanak-kanak juga diluluskan.

Bertema #KitaSelangor: Melonjak Kemajuan, Mengerat Perpaduan, Menjayakan Harapan, belanjawan tahun depan menggariskan lima teras utama iaitu:

  • Mengukuhkan pertumbuhan ekonomi
  • Membudaya perpaduan dan masyarakat penyayang
  • Pendidikan dan pembangunan generasi masa depan
  • Kehidupan lestari dan sejahtera
  • Tadbir urus cekap dan bertanggungjawab

Pengarang :