Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan ahli parlimen ketika sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 19 Disember 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Dewan Rakyat lulus peruntukan khas RM107.72 bilion untuk belanja perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang membenarkan perbelanjaan sebanyak RM107,718,676,650 dikeluarkan untuk perkhidmatan kerajaan bagi sebahagian tahun 2023.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata pembentangan RUU ini bertujuan untuk mendapatkan kebenaran sementara Parlimen supaya kerajaan boleh berbelanja sebahagian anggaran perbelanjaan bagi tempoh beberapa bulan sehingga Rang Undang-undang Perbekalan 2023 dibentang semula dan diluluskan kelak.

“Anggaran perbelanjaan di bawah rang undang-undang ini antaranya merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

“Begitu juga dengan projek-projek pembangunan yang sedang berjalan perlu diteruskan dan kontrak dibayar mengikut jadual,” katanya ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata rang undang-undang ini adalah selaras dengan Perkara 102(a) Perlembagaan Persekutuan dan kali terakhir ia dibentang adalah pada 20 Disember 1999.

Sementara itu, menurut naskah biru yang diedarkan oleh Parlimen, jumlah terbesar diperuntukkan di bawah Perkhidmatan Am Perbendaharaan adalah sebanyak RM28,118,860,750, diikuti Kementerian Pendidikan (RM24.97 bilion) dan Kementerian Kesihatan (RM17.05 bilion).

Peruntukan lain termasuk Jabatan Perdana Menteri (RM2.16 bilion), Kementerian Dalam Negeri (RM6.90 bilion), Kementerian Pendidikan Tinggi (RM5.85 bilion), Kementerian Pertahanan (RM5.70 bilion), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (RM2.38 bilion), Perbendaharaan (RM2.01 bilion) dan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (RM1.59 bilion).

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pula mendapat peruntukan RM1.80 bilion, Kumpulan Wang Terkanun (RM1.09 bilion), Parlimen Malaysia (RM83.36 juta), Kementerian Komunikasi dan Digital (RM495.72 juta dan Jabatan Perkhidmatan Awam (RM235.75 juta).

Permohonan peruntukan RM55,959,213,200 dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2023 untuk perbelanjaan segera turut diluluskan.

Selain itu, persidangan Dewan Rakyat juga meluluskan usul memindahkan sebanyak RM35.045 bilion, iaitu baki wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sebanyak RM31.834 bilion dan baki terimaan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MTIB) sebanyak RM3.211 bilion bagi tahun 2022 ke Kumpulan Wang Pembangunan di bawah seksyen 3(1) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275).

Turut diluluskan adalah usul memindah sebanyak RM16.20 bilion di bawah seksyen 3(1) Akta 275 dan seksyen 4(2) Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Akta 830).

Jumlah tersebut adalah baki wang terimaan MGII bagi tahun 2022 ke Kumpulan Wang Covid-19.

Kedua-kedua usul itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut Ahmad Maslan pindahan ini dilaksanakan bagi membiayai sebahagian daripada keperluan perbelanjaan pembangunan tahun 2022 seperti yang diluluskan oleh Parlimen pada pembentangan Bajet 2022 pada tahun 2021.

”Kumpulan Wang Pembangunan ialah satu kumpulan wang amanah kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 yang bertujuan membiayai projek pembangunan,” katanya.

Sementara wang pindahan ke Kumpulan Wang Covid-19 pula bertujuan menampung keperluan perbelanjaan (Kumpulan Wang Covid-19) bagi tahun 2022.

Persidangan kemudian ditangguh ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak. – BERNAMA


Pengarang :