Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid membaca ikrar aku janji sempena upacara mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-10 di Dewan Perbandaran, Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 5 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Dr Nor Fuad angkat sumpah datuk bandar baharu Shah Alam

SHAH ALAM, 5 DIS: Dr Nor Fuad Abdul Hamid mengangkat sumpah jawatan sebagai datuk bandar Shah Alam ke-10 hari ini.

Upacara bacaan ikrar dan penerimaan nota serah tugas berlangsung di Dewan Perbandaran, Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pelantikan Nor Fuad, 51, berkuat kuasa 1 Disember menggantikan Dato’ Zamani Ahmad yang difahamkan menggalas tugas di peringkat persekutuan.

Nor Fuad berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi keusahawanan dari Universiti York, England, United Kingdom dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Anak kelahiran Selangor ini pernah berkhidmat sebagai timbalan setiausaha kerajaan (pembangunan) merangkap pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) pada Oktober 2019.

Sepanjang berkhidmat sebagai pengarah Upen, beliau membangunkan dokumen jangka panjang pembangunan Selangor 2021-2025 iaitu Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Mula menyertai perkhidmatan awam pada 15 Januari 1996, Nor Fuad pernah bertugas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).


Pengarang :