Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memgimbas kad perakam waktu di bangunan Kementerian Kesihatan, Putrajaya, tanda memulakan tugas secara rasmi. Foto Bernama
AGENDA NASIONAL

Dr Zaliha sedia terima pandangan, cadangan bekas menteri kesihatan

PUTRAJAYA, 5 DIS: Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata beliau terbuka untuk menerima segala nasihat, cadangan serta pertolongan daripada bekas menteri-menteri kesihatan untuk dijadikan rujukan dalam menerajui Kementerian Kesihatan (KKM).

Menjadi wanita pertama dilantik sebagai Menteri Kesihatan, Dr Zaliha mengakui cabaran terbesarnya ialah meneruskan kecemerlangan KKM, di samping berusaha untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan negara secara amnya.

“Saya terbuka kepada sebarang bantuan dalam bentuk cadangan dan pandangan mengenai perkara yang mungkin menteri sebelum ini lakukan dan pernah melaksanakan sebarang polisi dan sebagainya.

“Tetapi seperti biasa, kita sebagai menteri baharu, akan diberikan taklimat oleh KKM sendiri dan lihat apakah polisi-polisi yang mungkin kita boleh terima pakai, perlu diperbaiki atau mungkin nak ditolak,” katanya kepada pemberita, di KKM di sini, hari ini.

Terdahulu beliau yang tiba di KKM di sini pada 8.30 pagi disambut Ketua Setiausaha KKM Datuk Harjeet Singh dan anggota pentadbiran serta pengurusan tertinggi kementerian sebelum melakukan acara mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi.

Dr Zaliha turut menzahirkan perasaan teruja selain menyifatkan pelantikan beliau sebagai usaha mengangkat martabat wanita untuk membuat dasar khususnya dalam bidang kesihatan.

Ahli Parlimen Sekijang yang berpengalaman sebagai doktor bidang perubatan keluarga itu berkata beliau juga akan memfokuskan usaha menambah baik dasar serta perkhidmatan kesihatan bagi golongan wanita dan kanak-kanak

“NGO (pertubuhan bukan kerajaan) wanita dan doktor-doktor wanita pun dah mula menghubungi saya, perkara ini satu cabaran tetapi menyeronokkan buat saya dan akan fikirkan mengenai perkara (dasar dan polisi) berkaitan wanita dan kanak kanak,” katanya.

Pada Sabtu lepas, Dr Zaliha, 58, bersama dua Timbalan Perdana Menteri dan 24 menteri Kabinet lain mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lepas, Dr Zaliha yang pertama kali bertanding di Parlimen Sekijang menang dalam saingan empat penjuru dengan majoriti 1,734 undi menewaskan Md Salleheen Mohamad (UMNO), Uzzair Ismail (Bersatu), Dr Mohd Zohar (Warisan) dan Mohd Saiful Faizal Bin Abd Halim (Putra).

– BERNAMA


Pengarang :