Medan selera Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) ditawarkan kepada penjaja yang terkesan susulan perobohan binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahru Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai, Puchong, Subang Jaya pada 24 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Dua dekad niaga di rizab jalan, peniaga lega MBSJ tawar lot gerai

SUBANG JAYA, 24 DIS: Selepas hampir dua dekad berniaga di rizab jalan tanpa kebenaran, peniaga menarik nafas lega apabila ditawarkan lot gerai di Medan Selera Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dekat Persiaran Puchong Permai, Puchong di sini.

Ahmad Salleh Iman, 69, tidak lagi dihantui rasa bimbang untuk meneruskan perniagaan masakan panas sejak dipindahkan ke medan selera yang terletak kira-kira 200 meter dari tapak penjaja di Jalan Taqwa, April lalu.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menawarkan satu unit lot gerai dengan kadar sewa RM350 sebulan selain lengkap kemudahan seperti meja, kerusi dan kipas.

Peniaga, Ahmad Salleh Iman, 69. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Semasa saya berniaga di tapak penjaja lama, macam-macam perasaan bermain dalam fikiran. Paling takut sekiranya tapak penjaja kena roboh memandangkan di sana kawasan setinggan dan tanah orang.

“Alhamdulillah MBSJ buka tawaran tender secara terbuka. Tanpa rasa was-was saya segera mohon dan rezeki berpihak kepada saya apabila lulus proses temu duga untuk berniaga di sini (medan selera) dengan lot kedai ditentukan melalui cabutan undi.

“Memang lega sangat-sangat kerana boleh berniaga dengan selamat sekarang. Terima kasih MBSJ kerana memudahkan urusan peniaga kecil seperti saya tanpa banyak karenah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bercerita lanjut, beliau berkata operasi perniagaan yang diusahakan bersama empat ahli keluarga lain berjalan lancar sejak berpindah ke situ selain pendapatan diraih lebih baik berbanding sebelumnya.

“Sejujurnya kami tiada pelanggan tetap, kalau mereka yang datang ke medan selera ini mahu merasai juadah dijual, mereka akan beli.

“Alhamdulillah saya boleh nampak perubahan daripada segi jumlah kedatangan pelanggan ke gerai saya sejak berpindah ke sini,” katanya yang mengharapkan penjaja terjejas lain turut diberi peluang sama.

Seorang lagi peniaga, Sukor Nigal, 47, mengakui lebih selesa dan selamat berniaga di lokasi baharu sejak tiga bulan lalu selepas ditawarkan lot gerai dengan sewa RM400 sebulan.

Sukor Nigal, 47. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurutnya, tawaran itu menyuntik semula semangat selepas hampir buntu mencari tapak sesuai untuk meneruskan perniagaan yang menjadi mata pencariannya sejak 2019.

“Sebelum ini ada ura-ura tapak lama akan diroboh, jadi saya bertindak keluar dari tempat itu dan cuba mohon tender untuk berniaga di medan selera ini.

“Sepanjang tempoh menunggu rasa hampir putus asa juga. Alhamdulillah tidak lama kemudian, saya dimaklumkan terpilih mendapat tender berkenaan bersama dua lagi peniaga dari tapak lama.

“Rasa lega sebab boleh berniaga semula, apatah lagi pendapatan terjejas sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Pada 21 Disember lalu, Datuk Bandar Subang Jaya memaklumkan penjaja terkesan susulan perobohan 25 struktur binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahru Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai, Puchong ditawarkan tapak niaga dan medan selera.

Dato’ Johary Anuar berkata tawaran itu bagi menempatkan semula peniaga terlibat di lokasi perniagaan baharu, namun hanya tiga sahaja berpindah berikutan yang lain enggan berbuat demikian.

Bagaimanapun, MBSJ mengulangi proses sama kepada peniaga terbabit iaitu menyediakan tapak di Dataran Niaga Puchong Permai dengan kadar sewa berpatutan.

Manakala Medan Selera MBSJ di kawasan berdekatan dibuat melalui tender terbuka berikutan permintaan tinggi.


Pengarang :