Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dua lelaki warga asing diburu polis larikan wang tunai lebih RM130,000

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Polis memburu dua lelaki warga asing dipercayai melarikan wang tunai US$30,000 (RM132,870) milik seorang lelaki yang bercadang melakukan penukaran wang di depan sebuah restoran di Ampang Point di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata siasatan mendapati seorang daripada suspek berjumpa mangsa atas urusan penukaran mata wang Dolar Amerika Syarikat dengan mata wang Ringgit Malaysia dan dijanjikan keuntungan RM15,000.

Beliau berkata setelah persetujuan dicapai, mangsa yang berusia 30-an mengeluarkan bungkusan berisi mata wang Dolar Amerika Syarikat daripada beg sandangnya namun tiba-tiba dirampas oleh suspek sebelum melarikan diri ke arah sebuah kenderaan dipercayai jenis Toyota Vios.

“Suspek melarikan diri menggunakan kenderaan itu dipandu seorang lelaki tidak dikenali mangsa yang menunggu berhampiran tempat kejadian.

“Suspek juga meninggalkan sejumlah mata wang Ringgit Malaysia yang disyaki palsu,” menurutnya dalam kenyataan.

Mohamad Farouk berkata mangsa mengenali suspek melalui rakan yang bersamanya ketika kejadian namun mangsa tidak pernah bertemu dengan suspek sebelum itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merompak berkumpulan tanpa senjata dan boleh dihukum penjara sehingga tempoh 20 tahun serta dikenakan sebatan.

“Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan bagi kesalaham memiliki mata wang kertas palsu dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :