EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah menjawab pertanyaan ahli dewan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Dua muzium di Kuala Selangor dibaik pulih, jangka buka awal tahun depan

SHAH ALAM, 2 DIS: Muzium Permainan Tradisional di Kuala Selangor dijangka dibuka semula kepada pengunjung menjelang pertengahan Januari tahun depan.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata kerja hiasan dalaman dan ruang pameran selesai dilakukan pada 30 November lalu dan ketika ini aktiviti pengisian giat dilaksanakan.

“Selain itu, kerja-kerja lukisan mural pada dinding luar muzium akan mula dilaksanakan pada 15 Disember dan dijangka tamat pada penghujung tahun ini.

“Kita jangka Muzium Permainan Tradisional ini dapat dibuka semula pada pertengahan Januari tahun hadapan,” kata Borhan Aman Shah ketika penggulungan Belanjawan 2023 pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Selain itu, Borhan turut memaklumkan kerja menaik taraf Muzium Sejarah Kuala Selangor giat dijalankan dan dijangka selesai pada 15 Disember depan.

“Kerja-kerja pembaikan kecil seperti mengecat bangunan, membaiki bumbung bocor dan lain-lain sedang giat dilakukan sebelum dibuka kepada pengunjung,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli mencadangkan Muzium Permainan Tradisional Rakyat di Kuala Selangor dibaik pulih bagi memelihara aset warisan di negeri ini.

Katanya, usaha itu perlu digerakkan Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dan kewujudannya juga akan menggalakkan sektor pelancongan di Kuala Selangor bersesuaian dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.


Pengarang :