Anggota Polis mengusung mayat salah seorang dari dua lelaki warga asing yang ditemukan maut dengan kesan kecederaan hentakan pada muka di rumah kedai Pusat Komersial Oakland, Seremban pada 3 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Dua warga Nepal maut dengan kesan hentakan di muka

SEREMBAN, 4 DIS: Dua warga asing ditemui maut dengan kesan kecederaan hentakan di muka di rumah kedai Pusat Komersial Oakland di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira 6.45 petang dan sejurus tiba di tempat kejadian polis menemukan tiga warga Nepal termasuk seorang lagi yang berada dalam keadaan normal.

Katanya kedua-dua mangsa itu merupakan pengawal keselamatan berusia 35 tahun dan 46 tahun berada di lokasi kejadian yang merupakan tempat pekerja mengambil makanan.

“Setelah tiba di lokasi kejadian, polis mendapati dua lelaki bangsa Nepal telah mati dan seorang lagi masih dalam keadaan normal. Motif kejadian masih dalam siasatan.

“Keadaan kedua-dua mangsa adalah terlentang berada berjauhan antara satu sama lain dan terdapat kecederaan di bahagian muka dipercayai ada kesan hentakan tetapi polis masih memerlukan pemeriksaan forensik,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata polis mendapati lelaki yang berada bersama mangsa tersebut dipercayai di bawah pengaruh alkohol selain turut menemukan tukul yang disyaki senjata digunakan dalam kes itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :