Anggota Bomba dan Penyelamat Dengkil melakukan proses memindahkan anggota keluarga termasuk kanak-kanak yang terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Sri Tanjung, Dengkil pada 17 November 2022. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

DUN Pandamaran tubuh pasukan khas hadapi banjir kilat

SHAH ALAM, 12 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran membentuk satu pasukan khas bagi membantu penduduk menghadapi banjir kilat.

Wakil rakyat Leong Tuck Chee berkata pasukan tersebut akan mengunjungi kediaman mangsa dan membantu mengeluarkan air menggunakan pam.

“Di Pandamaran ini, kita ada beberapa lokasi yang sering dilanda banjir kilat. Jadi, saya ambil inisiatif sendiri untuk tubuhkan satu pasukan bagi membantu penduduk terjejas,” katanya kepada SelangorKini.

Jelas beliau Kerajaan Negeri sedang menambah jumlah pam air dan membina kolam takungan sementara di Taman Melawis yang kerap dilanda bencana itu.

Menurut Tuck Chee, projek naik taraf saliran dan tebatan banjir di kawasan itu dengan kos bernilai RM16 juta masih berjalan dan dijangka siap pada April 2024.

“Sementara projek itu disiapkan, saya juga sudah memohon kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk menyelenggara parit dan longkang,” katanya.

Semalam, JPS mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di Selangor membabitkan Petaling, Klang dan Sepang.

Ia melibatkan kawasan seperti mukim Sepang, mukim Dengkil, pekan Batu Tiga, bandar Shah Alam, pekan Pandamaran, pekan Kapar, mukim Klang dan kawasan sekitarnya.


Pengarang :