EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Elak pencemaran, Selangor tidak lulus lesen kilang proses sisa plastik

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri tidak membenarkan kilang atau premis baharu bagi memproses sisa plastik kitar semula beroperasi di Selangor.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata perkara itu sudah dipersetujui menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) ke-11/2022 pada 20 April lalu.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut melarang import sisa plastik kitar semula bagi tujuan pemerolehan kembali atau pelupusan akhir bagi semua kilang yang menjalankan proses kitar semula plastik.

“Tindakan ini dibuat berikutan penggunaan beg plastik tanpa kawalan mampu memberi ancaman besar kepada alam sekitar dan kesihatan jika tiada perancangan teliti mengenai pengurusan penggunaan bahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan Belanjawan Selangor 2023 pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Loy Sian berkata Kerajaan Negeri mengambil inisiatif berterusan dengan melaksanakan pelbagai program atau kempen dalam memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung impak penggunaan plastik.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa mengemas kini dan menambah baik kaedah pelaksanaan program atau kempen alam sekitar bagi memastikan perancangan ke arah sifar plastik dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.


Pengarang :