EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap ketika majlis perasmian persidangan Komuniti Sulh dan Rakan Sokongan Keluarga Negeri Selangor di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 15 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Agihan baucar halal RM100 dijangka mula diagih Februari tahun depan

SHAH ALAM, 15 DIS: Agihan baucar halal RM100 kepada keluarga kurang berkemampuan di Selangor dijangka bermula Februari tahun depan, maklum EXCO industri halal.

Justeru, Mohd Zawawi Ahmad Mughni meminta wakil rakyat di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenal pasti penduduk yang layak menerima baucar beli belah tersebut.

“Insya-Allah jika semuanya lancar terutama soal pentadbiran kewangan, kita cuba agih baucar ini secepatnya kepada penduduk melalui wakil rakyat mengikut kuota yang ditetapkan.

“Kita akan maklumkan kepada wakil rakyat untuk kenal pasti penerima yang benar-benar layak kerana mereka lebih tahu rakyat di kawasan masing-masing. Kita jamin agihan baucar dibuat secara adil,” katanya di Hotel Mardhiyyah di sini hari ini.

Bercakap pada sidang media Persidangan Komuniti Sulh dan Rakan Bahagian Sokongan Keluarga anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), Mohd Zawawi berkata agihan baucar bagi tahun ini selesai diagih kepada 2,800 keluarga dari 30 DUN pada Oktober lalu.

Beliau menjelaskan penerimaan rakyat terhadap inisiatif berkenaan amat memberangsangkan berikutan diberi secara percuma untuk membeli barangan halal di premis terpilih.

“Cuma mesejnya adalah kita mahu masyarakat supaya membeli barangan halal dahulu. Ini bermakna mereka kena pilih barangan yang ada logo halal.

“Dengan langkah ini, pengguna terdidik untuk memilih produk halal, manakala pengusaha pula berusaha mendapatkan sijil halal supaya produknya dimasukkan dalam program ini memandangkan banyak produk industri kecil dan sederhana (IKS) tiada logo halal,” katanya lagi.

Pada 25 November lalu, Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan Selangor 2023 mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pelaksanaan baucar halal.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu memberi manfaat serampang dua mata bagi meningkatkan pengeluaran di pihak pemain industri dan membantu rakyat berbelanja barangan asas.


Pengarang :