EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman melawat tapak rerurai sempena program Selangor Mega Job Fair di Maeps, Serdang pada 10 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Cadang anjur karnival kerjaya mega Mac atau April 2023

SUBANG JAYA, 10 DIS: Kerajaan Negeri bercadang menganjurkan karnival kerjaya mega tahun depan bagi memastikan kadar pengangguran di Selangor kekal di bawah empat peratus, kata Mohd Khairuddin Othman.

EXCO Pembangunan Modal Insan berkata pihaknya belum memuktamadkan tarikh tetapi dijangka dianjur pada Mac atau April depan.

“Komitmen untuk terus mengekalkan kadar pengangguran di Selangor di bawah empat peratus sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Selangor.

“Justeru, kita bercadang menganjurkan karnival sama siri pertama tahun depan sekitar Mac atau April dan lokasi sama ada di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) atau Pusat Konvensyen MBSA,” katanya pada sidang media selepas melawat gerai pameran Karnival Kerjaya Mega Selangor di MAEPS hari ini.

Karnival Kerjaya Mega 2022 siri kedua itu berlangsung dua hari mulai hari ini dengan menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor melibatkan 300 syarikat ternama.

Antara syarikat terlibat adalah Perusahaan Otomobil Nasional (Proton), Pos Malaysia, Prasarana, Puncak Niaga Holdings, Starbucks, Genting Malaysia dan agensi kerajaan serta anak syarikat Kerajaan Negeri.

Rakyat Selangor khususnya belia digalak mengambil peluang yang disediakan dengan mendaftar di www.selangorjobportal.com.my atau hadir secara terus mulai jam 9 pagi hingga 5.30 petang.


Pengarang :