EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berucap ketika majlis perasmian aktiviti pelancongan ‘ Jom Play Kajang!’ anjuran Alumni Siswazah Universiti Kebangsaan Seni Taiwan di Tin Hong Sza Temple, Kajang pada 17 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Dialog bersama pengusaha, tambah baik peraturan tapak perkhemahan

Oleh Azian Aziz

KAJANG, 17 DIS: Kerajaan Negeri akan mengadakan dialog dengan pengusaha perkhemahan sebelum membuat keputusan mengenai pengeluaran lesen dan peraturan berhubung aktiviti perniagaan tersebut.

EXCO pelancongan berkata perjumpaan bersama pengusaha dilaksanakan dalam tempoh terdekat selain perbincangan dengan Kementerian Pelancongan berhubung beberapa perkara.

“Kita akan muktamadkan perbincangan, kita akan pantau, keluar lesen dan buat peraturan. Tetapi sebelum itu kita akan buat dialog dan bertukar pandangan dengan mereka.

“Dengan Kementerian Pelancongan pun perlu berbincang kerana ini merupakan salah satu produk pelancongan,” kata Hee Loy Sian selepas merasmikan program Jom! Play Kajang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tragedi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali semalam.

Beliau berkata pelaksanaan garis panduan baharu antaranya jarak sesuai untuk mendirikan tapak perkhemahan di kawasan berhampiran cerun dan sungai turut dipertimbangkan bagi mengelak kejadian yang mengorbankan nyawa berulang.

“Kita juga akan menetapkan semua perniagaan berkaitan perkhemahan yang membawa keuntungan perlu mendapat kelulusan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan. Kalau tidak kita tak boleh kawal aktiviti ini,” ujarnya.


Pengarang :