EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim dalam sesi temu bual bersama Media Selangor di Bangunan Sultan Salahhuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Kusel ditubuh, pemudah cara permohonan permit pembangunan utiliti

SHAH ALAM, 23 DIS: Kerajaan Negeri menubuhkan Koridor Utiliti Selangor (Kusel) untuk menjadi pemudah cara kepada syarikat penyedia utiliti memohon permit pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata syarikat di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu turut berperanan menyediakan garis panduan laluan kemudahan utiliti dan pengalian jalan.

Menurut Izham yang juga pengerusi Kusel, panduan itu membantu menjimatkan kos pembangunan syarikat dan mengelakkan kerosakan teruk pada kemudahan sedia ada seperti jalan sehingga menjejaskan ramai pengguna.

“Utiliti di bawah tanah mudah rosak sekiranya tidak disusun, contohnya apabila hendak tambah paip air pasti perlu kerja mengorek yang akhirnya terkena paip lain sedia.

“Kos membaiki kerosakan itu biasa tinggi dan syarikat terpaksa menanggungnya akibat kerja pihak ketiga, ini yang Kusel mahu kurangkan,” katanya dalam temu bual pada 20 Disember.

Izham berkata penubuhan Kusel juga selaras hasrat menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar menjelang 2025 dengan menyediakan persekitaran kondusif untuk masyarakat.

Menurutnya, sebagai negeri maju pastinya keperluan pembangunan semakin mendesak namun pada masa sama pembinaannya tidak harus menjejaskan kehidupan masyarakat.

Izham berkata garis panduan laluan kemudahan dan penggalian jalan dibangunkan Kusel yang diperakui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa juga telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Ogos lalu.

Syarikat telekomunikasi, air, elektrik, pembetungan, gas dan pemaju hartanah boleh merujuk garis panduan terbabit di laman sesawang www.kusel.my


Pengarang :