EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman melawat tapak rerurai sempena program Selangor Mega Job Fair di Maeps, Serdang pada 10 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Lebih 1,000 individu ditawar pekerjaan menerusi karnival kerjaya negeri

SHAH ALAM, 25 DIS : Seramai 1,063 individu berjaya mendapat pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya Mega Selangor 2022 siri kedua yang berlangsung pada 10 dan 11 Disember lepas.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata daripada jumlah itu seramai 747 diterima bekerja semasa sesi temu duga secara terus pada program yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang.

“Selain itu, seramai 4,243 individu lagi dipanggil menghadiri temu duga kali kedua oleh majikan setakat hari ini. Proses tapisan temu duga kedua ini masih dijalankan dan diharap semua pemohon berjaya.

“Insya-Allah karnival ini akan terus dilaksana bagi mengurangkan kadar pengangguran sekali gus mengekalkan kadar pengangguran di Selangor bawah empat peratus,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Karnival Kerjaya Mega Selangor 2022 siri kedua itu berlangsung selama dua hari pada 10 dan 11 Disember dengan menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor melibatkan 300 syarikat ternama.

Antara syarikat terlibat adalah Perusahaan Otomobil Nasional (Proton), Pos Malaysia, Prasarana, Puncak Niaga Holdings, Starbucks, Genting Malaysia dan agensi kerajaan serta anak syarikat Kerajaan Negeri.


Pengarang :