Penyelaras Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) Dr Muhammad ‘Adil Zainal Abidin (dua dari kanan) menerangkan fungsi SEHAT kepada EXCO Hal Ehwal Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) pada program Jelajah Selangor Saring di DUN Sekinchan pada 5 Jun 2022.
EXCOSELANGOR

EXCO: Manfaatkan kemudahan program Sehat, 30 kaunselor bertauliah sedia bantu

SHAH ALAM, 27 DIS: Rakyat Selangor diseru mengambil peluang memanfaatkan tiga kelebihan dalam program Selangor Mental Sihat (Sehat).

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata Kerajaan Negeri menanggung sepenuhnya kos rawatan individu yang mengalami tekanan dan kemurungan.

Menurutnya program Sehat yang sudah memasuki tahun keempat membantu menjimatkan tempoh sesi rawatan selain turut melibatkan klinik kerajaan dan swasta.

“Tahun ini merupakan tahun keempat Kerajaan Negeri melaksanakan program Sehat. Selangor memperuntukkan RM1 juta untuk progam ini.

“Pada 2021, SEHAT menerima penyertaan daripada 50,000 orang melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah),” katanya dalam satu video yang dimaut naik di Facebook.

Dr Siti Mariah menjelaskan gangguan kesihatan mental merupakan masalah kesihatan kedua tertinggi di Malaysia dan ia perlu ditangani secara tuntas.

Katanya, Kerajaan Negeri menyediakan Talian Sehat untuk memudahkan akses rakyat kepada kaunselor bertauliah.

“Justeru, saya menyeru rakyat mengambil peluang untuk mendapatkan perkhidmatan dengan menghubungi 1700-82-7537 atau 1700-82-7536. Seramai 30 kaunselor bertauliah menunggu untuk membantu anda,” katanya.

 


Pengarang :