EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail mendengar taklimat Pengurus Kanan Kumpulan Ikram, Abd Razif Abd Malek (kiri) mengenai cadangan awal kerja pembaikan tanah mendap di kawasan parkir Pangsapuri Indahria di Seksyen 22, Shah Alam pada 23 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Peruntukan hampir RM25 juta baik pulih tanah mendap di Pangsapuri Indahria

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 24 DIS: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan hampir RM25 juta bagi menyelesaikan masalah tanah mendap di kawasan parkir Pangsapuri Indahria di Seksyen 22, Batu Tiga di sini.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar berkata masalah yang membelenggu penduduk sejak 2010 berakhir dengan pemasangan cerucuk mikro (contiguous micropile wall) di tebing sungai berhampiran kawasan kediaman itu.

Rodziah Ismail berkata kerja baik pulih yang turut membabitkan kawasan parkir kenderaan pangsapuri itu bermula 12 Januari depan dan dijangka selesai 31 Januari 2024.

“Sepanjang kerja baik pulih dilaksanakan, penduduk tidak perlu berpindah kerana struktur bangunan ini selamat dan tiada sebarang pergerakan.

“Penduduk diminta bersabar hadapi masalah bising dan habuk sepanjang kerja baik pulih dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas melawat kawasan mendapan di pangsapuri terbabit semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri mengambil tanggungjawab menyelesaikan masalah yang dihadapi sejak 12 tahun lalu atas dasar keselamatan penduduk.

Sebahagian kesan tanah mendap di kawasan parkir Pangsapuri Indahria bahagian 6,7 dan 8 di Seksyen 22, Shah Alam pada 23 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Mengulas lanjut Rodziah berkata kerja baik pulih akan dilaksanakan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) selepas pemeriksaan terhadap struktur bangunan dan keadaan sebenar mendapan tanah yang berlaku dijalankan.

Pangsapuri berkenaan siap pada 2006 dan tanah mendap di kawasan parkir itu bermula sejak 2009.

Keretakan itu dipercayai berpunca daripada rekahan tanah di kawasan tempat letak kenderaan yang terletak bersebelahan pangsapuri 15 tingkat terbabit yang menyebabkan tiang struktur parkir condong.


Pengarang :