EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim bergambar bersama peserta ketika perasmian program jelajah usahawan digital Selangor siri 5 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Hotel Crystal Crown, Pelabuhan Klang, Klang pada 10 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Program jelajah usahawan digital tepati inisiatif Smart Selangor

KLANG, 10 DIS: Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 yang dikendalikan Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) merupakan program yang menepati salah satu daripada empat agenda utama inisiatif Smart Selangor iaitu ekonomi pintar.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata Kerajaan Selangor beraspirasi untuk menjadi negeri pintar dan berdaya huni pada peringkat Asean menjelang 2025.

“Menerusi program jelajah ini, ia membantu Selangor mencapai hasrat ke arah negeri pintar kerana pendigitalan merupakan keperluan dan Sidec selaku penganjur membantu mempromosi tranformasi ini ke tahap lebih tinggi.

“Usahawan yang menyertai program ini dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran yang mereka perlukan dalam mendepani cabaran Covid-19 supaya perniagaan lebih efektif serta terus meningkat,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 siri kelima hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.

Sebelum ini, program usahawan digital anjuran Sidec diadakan sebanyak empat siri iaitu di Gombak, Hulu Selangor, Petaling dan Kuala Selangor.

Inisiatif yang diperkenal sejak dua tahun lalu itu mengunjungi semua daerah bagi membantu usahawan menembusi pasaran antarabangsa dengan mudah dan pantas.

Selain Lazada, Shopee dan J&T, jelajah itu turut melibatkan pemain industri seperti PG Mall, EasyStore, Dropee, Yayasan Hijrah Selangor, Rantaian e-Bekalan Digital Selangor dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.


Pengarang :