EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman beramah mesra bersama peserta selepas merasmikan Kejohanan Piala Budak Kampung 2022 peringkat daerah Hulu Langat di Arena Owl Trafford, Bangi pada 17 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Program pembangunan sukan negeri diperkasa, cungkil bakat akar umbi

KAJANG, 17 DIS: Kerajaan Negeri meneruskan program pembangunan sukan sedia ada tahun depan bagi mencungkil bakat baharu berpotensi di peringkat akar umbi.

Mengambil contoh Kejohanan Piala Budak Kampung, EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata aktiviti kesukanan akan dilaksana menggunakan peruntukan yang diumum dalam Belanjawan Selangor 2023.

“Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperuntukkan amaun yang agak baik untuk melaksanakan program pembangunan sukan dan saya selesa dengan bajet diluluskan.

“Kita akan teruskan apa yang ada (program pembangunan sukan). Saya percaya jika kita bergerak seperti ini, insya-Allah hasilnya dapat dilihat dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang,” katanya ditemui di Arena Owl Trafford, Bangi di sini hari ini.

Sementara itu, beliau mengakui kekurangan platform antara faktor bakat baharu sukar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Misalnya seseorang itu bermain dengan Liga Shah Alam yang dianjur oleh pihak swasta, tetapi liga ini tidak terhubung dengan pihak yang lebih tinggi. Jadi individu itu sekadar bermain untuk liga berkenaan sahaja.

“Jadi pendekatan kita adalah membantu golongan ini untuk pergi lebih jauh melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor selari dengan hasrat melahirkan ramai pelapis dalam pelbagai acara sukan,” katanya lagi.

Pada 25 November lalu Amirudin ketika membentang belanjawan negeri 2023 berkata program pembangunan sukan oleh MSN Selangor diterukan dengan peruntukan RM7 juta.

Projek membaik pulih dan membina infrastruktur sukan juga diteruskan membabitkan perbelanjaan RM2.24 juta bagi memartabatkan aspek pembangunan sukan serta aktiviti kesukanan.


Pengarang :