EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (tengah) bercakap pada sidang media pasca-laporan Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 dan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di bilik gerakan MTES, Shah Alam pada 6 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Selangor rekod pelaburan hampir RM10 bilion sehingga suku ketiga

SHAH ALAM, 6 DIS: Selangor merekodkan hampir RM10 bilion pelaburan dalam pelbagai sektor seperti pembuatan serta makanan dan minuman setakat suku ketiga tahun ini.

Berikutan itu, EXCO pelaburan yakin sasaran RM12 bilion yang ditetapkan tahun ini mampu dicapai berikutan situasi ekonomi yang semakin pulih pascapandemik Covid-19.

“Tahun lepas agak teruk kerana walaupun penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan ditarik balik, namun kebanyakan pintu sempadan antarabangsa masih ditutup.

“Jadi mustahil untuk mengadakan mesyuarat dan urus niaga fizikal sekali gus menjejaskan usaha menarik pelaburan langsung asing,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping.

Pada 1 Disember, Chang Khim berkata Selangor meluluskan projek perkilangan tertinggi berbanding negeri lain dalam tempoh Januari hingga Jun lalu dengan nilai pelaburan RM4.88 bilion.


Pengarang :