Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) ke-16 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 3 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Unisel sasar masuk senarai universiti terbaik dunia

SHAH ALAM, 6 DIS: Universiti Selangor (Unisel) menyasar untuk berada dalam senarai kedudukan universiti terbaik dunia Quacquarelli Symonds (QS) dan Time Higher Education Ranking.

Bagi mencapai hasrat itu, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata universiti berkenaan perlu menumpukan dana dan aktiviti penyelidikan, bilangan serta kualiti penerbitan.

Turut ditekankan, jelasnya, ialah aktiviti perundingan, kerjasama antarabangsa, pelajar dan staf antarabangsa, pelajar berbiasiswa serta bidang lain yang memerlukan dana berterusan dan tinggi.

“Bagaimanapun, Unisel tidak mendapat dana bagi perkara itu dan lebih menumpukan pengajaran dengan komponen pelajar berpendapatan rendah yang mempunyai kelayakan akademik paling minimum,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sungai Burong Mohd Shamsudin Lias berhubung kemajuan universiti milik Kerajaan Negeri dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Chang Khim memaklumkan Unisel kini pada kedudukan ke-27 dalam negara berdasarkan UniRank, yang menyediakan maklumat berkaitan institusi pengajian tinggi.

Beliau menjelaskan platform tersebut menjadi rujukan pendidikan tinggi antarabangsa terkemuka yang menampilkan kedudukan lebih 14,000 universiti di seluruh dunia.


Pengarang :