Pasukan Wanita Selangor FC menjalani latihan menjelang saingan Liga Wanita Nasional 2022. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

FAM perkasa Liga Wanita Nasional, galak lebih ramai pamer bakat

PETALING JAYA, 16 DIS: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memperkasakan penganjuran Liga Wanita Nasional (LWN) bagi menjadikannya lebih kompetitif bermula pada tahun hadapan, kata Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob.

Beliau berkata liga berkenaan yang baru sahaja diperkenal pada tahun ini akan diperluas dengan penggunaan format timbal balik selaras dengan ketetapan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurutnya sejumlah 12 pasukan bertanding di dalam LWN akan mengharungi 22 perlawanan pada tahun hadapan sama seperti Liga Super.

“Inilah masanya untuk ia dilaksanakan, walaupun mungkin berdepan pelbagai kekurangan, kita perlu mulakannya bagi perkembangan bola sepak wanita,” katanya pada sidang media pengenalan ketua jurulatih baharu skuad wanita negara Soleen Al-Zou’bi di Wisma FAM di sini hari ini.

Suraya berkata penyediaan saingan LWN lebih kompetitif khusus kepada wanita itu juga sebagai usaha mengenal pasti bakat baharu untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Soleen berkata langkah menaik taraf liga tersebut merupakan antara perancangannya untuk menarik lebih ramai wanita menggunakan platform itu bagi mempamerkan bakat masing-masing untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

“Saya mempunyai rancangan jangka pendek dan panjang untuk memperkasakan bola sepak wanita. Pelan jangka pendek adalah untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain menyertai pertandingan. Pelan jangka panjang pula adalah untuk melahirkan pemain berkualiti mewakili seluruh negara,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :