Poster Mechamato Movie. Foto Facebook Nizam Abd Razak (Penerbit Mechamato)
AGENDANASIONAL

Filem animasi tempatan Mechamato Movie raih kutipan RM1.1 juta hari pertama tayangan

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Filem daripada Monsta Studio, Mechamato Movie berjaya meraih kutipan RM1.1 juta pada hari pertama tayangannya bermula Khamis lepas.

Penulis dan penerbit Mechamato Movie Nizam Abd Razak ketika berkongsi berita gembira itu dalam laman Facebook rasminya turut menzahirkan kesyukuran atas pencapaian berkenaan.

“Syukur, alhamdulillah! Berkat sokongan rakyat Malaysia, Mechamato Movie berjaya mengutip lebih RM1 juta pada hari pembukaan tayangan di seluruh negara. Terima kasih kepada yang sudah menonton dan yang bakal menonton #MechamatoMovie,” katanya.

Selain Malaysia, Mechamato Movie juga boleh ditonton di pawagam di Brunei.

Menurut kenyataan Monsta, Astro Shaw sebagai penerbit bersama dan pengedar menaruh kepercayaan tinggi terhadap produksi animasi tempatan seperti Monsta selain percaya jenama itu mempunyai kredibiliti dan rekod yang baik dalam membawa nama Malaysia ke peringkat global.

Monsta ialah pencipta kepada siri animasi popular BoBoiBoy, Mechamato, Papa Pipi dan Fly With Yaya.

Mechamato, produk terbaharu daripada studio itu, pernah menjadi ‘TOP 3’ pada Tokyo Anime Festival Awards 2023 di Jepun. – BERNAMA


Pengarang :