Istiadat Angkat Sumpah dan Menerima Watikah Pelantikan Ahli Dewan Diraja Selangor bagi sesi 1 Disember 2022 hingga 30 November 2025 berlangsung di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 27 November 2022. Foto Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Fungsi Dewan di-Raja Selangor bawah undang-undang tubuh negeri

SHAH ALAM, 22 DIS: Setiap negeri beraja di negara ini mempunyai majlis diraja sendiri mengikut undang-undang tubuh negeri masing-masing.

Selangor sebagai negeri berdaulat turut ada majlis dirajanya iaitu Dewan di-Raja Selangor yang ditubuh bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959.

Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu peruntukan berkaitan hal ehwal kesultanan dan istana dan kedua pula terdiri daripada peruntukan tentang jentera kerajaan.

Dewan di-Raja Selangor ditubuh bawah Perkara XXIII dalam Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh bagi membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dalam perjalanan fungsi-fungsi Baginda dan untuk melaksanakan fungsi-fungsi yang dinyatakan dengan khusus dalam Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh.

Terdapat juga fungsi khusus yang diberi kepada Dewan di-Raja dalam Perkara XCVIII dalam bahagian Kedua Undang-undang Tubuh.

Secara umumnya, fungsi Dewan di-Raja yang dinyatakan dengan khusus dalam Undang-undang Tubuh boleh dibahagi kepada tiga kategori iaitu;

i. Kuasa mutlak

  • fungsi untuk menjalankan kuasa yang terletak hak khusus pada Dewan di-Raja sahaja

ii. Fungsi bersama

  • fungsi untuk menjalankan kuasa yang diberi kepada Dewan di-Raja dan kepada pihak lain

iii. Fungsi perunding

  • fungsi sebagai badan untuk dirundingi
YAM Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada Istiadat Angkat Sumpah dan Menerima Watikah Pelantikan Ahli Dewan Diraja Selangor bagi Sesi 1 Disember 2022 hingga 30 November 2025 di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 27 November 2022. Foto Facebook Selangor Royal Office

Dewan di-Raja Selangor dipengerusi DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Laksamana, Tengku Bendahara, Dato’ Menteri Besar, Pengerusi Majlis Agama Islam dan Mufti pula sebagai Ahli Ex-Officio.

Dewan ini turut dianggotai empat waris lain, lima Orang-orang Besar, tujuh Orang Tua-tua yang bukan Ahli Dewan Undangan atau Dewan Rakyat.

Berikut senarai ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor bagi penggal 1 Disember 2022 hingga 30 November 2025:

Pengerusi

  • DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

Ahli Ex-Officio

  • DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
  • Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Bendahara Selangor (kosong)
  • YAM Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj
  • Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari
  • Yang Amat Dihormati (YAD) Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
  • Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir

Empat Ahli Waris Yang Lain

Empat Ahli Waris Yang Lain terdiri daripada orang yang berhak kepada takhta dan Kesultanan Selangor selepas waris utama;

  • YAM Tengku Panglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj
  • YAM Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj
  • YAD Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj
  • YAD Tengku Seri Wangsa Diraja Tengku Dato’ Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Istiadat Angkat Sumpah dan Menerima Watikah Pelantikan Ahli Dewan Diraja Selangor bagi Sesi 1 Disember 2022 hingga 30 November 2025 di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 27 November 2022. Foto Facebook Selangor Royal Office

Lima Orang-Orang Besar

Lima Orang-Orang Besar terdiri daripada Orang Besar Daerah Hulu Langat, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Gombak, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sepang dan Petaling, dan mana-mana orang Melayu lain yang dianugerahi atau akan selepas ini dianugerahi apa-apa pangkat atau gelaran atau Darjah atau Pingat Penghormatan mengikut Perkara XXXVIII mengikut tafsiran, perkara IV (1), Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor;

  • YAD Dato’ Jugra Kurnia Diraja Tan Sri Dato’ Seri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir
  • YAD Dato’ Setia Salehuddin Saidin
  • YAD Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Petaling Dato’ Emran Kadir
  • YAD Dato’ Setia Mohd Zawawi Salleh
  • YAD Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Ibrahim

Tujuh Orang Tua-Tua

Bukan Ahli Dewan Negeri atau Dewan Rakyat, yang daripada mereka sekurang-kurangnya seorang hendaklah anggota Majlis Agama Islam.

Mana-mana lelaki Melayu Selangor yang menganut agama Islam mengikut mazhab Shafii berumur tidak kurang daripada 35 tahun, dan diakui telah dilahirkan sah taraf dan dengan sah.

Di samping itu boleh membaca dan menulis bahasa Melayu dan mempunyai reputasi, akal budi, sifat, resmi, perawakan dan tingkah laku yang baik dan terpuji seperti mana tafsiran, perkara IV (1), Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor;

  • YAD Engku Setia Lela Bestari Raja Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj
  • YAD Tan Sri Ambrin Buang
  • YAD Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa
  • Sahibul Fadhilah al-‘Alim al-‘Arif Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid
  • YAD Engku Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor Raja Dato’ Muzaffar Raja Redzwa
  • YAD Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Klang Dato’ Setia Mohamed Khusrin Munawi
  • YAD Dato’ Mohd Khay Ibrahim

Pengarang :