Batrisyia Mohd Fauzi ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Selangor dekat Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 7 Disember 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Gadis teruja beli buku sejarah, politik di pesta buku negeri

SHAH ALAM, 8 DIS: Kupasan menarik dikongsi penulis Ayman Rashdan Wong berkaitan tamadun Cina dan politik mendorong seorang gadis berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 untuk mencari naskhah itu.

Batrisyia Mohd Fauzi, 21, teruja menemui karya tulisan penganalisis geopolitik di SIBF yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dekat sini selepas sekian lama mencari.

Penuntut semester lima Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mengakui tidak sabar membaca karya berjudul Kitab Tamadun Cina dan Politik Untuk Pemula yang diperoleh dari sebuah reruai dengan harga berpatutan.

Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam menerima sambutan menggalakkan termasuk pada hari bekerja ketika tinjauan pada 6 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya mula meminati sejarah sejak tahun lepas selepas mengikuti beliau (Ayman) di Twitter. Beliau kerap berkongsi buku ini yang membuatkan saya ingin tahu apa sebenarnya isi kandungan buku terbabit.

“Apatah lagi penulis ini memang popular di Twitter. Setiap perkongsian berkaitan buku itu diulang kicau ramai pengguna, jadi ia menarik minat saya untuk beli buku ini.

“Insya-Allah saya akan cuba habiskan baca buku ini jika ada masa lapang dan tidak sibuk dengan kuliah,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pengunjung Nurul Nazihah Mohd Razif, 14, seronok apabila berpeluang mengikuti rombongan sekolah ke SIBF bersama kira-kira 40 pelajar lain.

Pelajar tingkatan dua dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Andalas berkata dia mahu mencari novel kerana gemar membaca bahan bacaan itu sejak darjah enam.

Nurul Nazihah Mohd Razif

“Sebenarnya saya baru berjinak-jinak baca novel semasa Covid-19 untuk beri ketenangan dan hilangkan tekanan. Malah, di rumah terdapat beberapa naskhah novel yang sudah selesai dibaca.

“Kebetulan pula guru mengadakan rombongan ke SIBF, jadi saya tidak mahu sia-siakan peluang ini untuk beli beberapa novel yang dijual dengan harga murah berbanding kedai buku lain,” katanya.

SIBF anjuran Kerajaan Negeri dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebagai urusetia diadakan hasil kesinambungan Pesta Buku Selangor yang diadakan sejak 2006.

Pempamer luar negara terlibat antaranya China, Singapura (membawa buku dari United Kingdom dan Amerika Syarikat) serta Indonesia.

Manakala program Kandungan Kanak-Kanak Antarabangsa Selangor (SICC) menampilkan tujuh felo yang didatangkan khas dari United Kingdom, Macedonia, Korea Selatan, Mesir dan Indonesia.


Pengarang :