Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika rumah terbuka sambutan perayaan Krismas peringkat Selangor 2022 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 13 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ganda usaha kukuh kemakmuran negeri, tolak tindakan ancam kestabilan

PETALING JAYA, 14 DIS: Selangor melipatgandakan usaha untuk memperkukuh kemakmuran masyarakat berbilang bangsa dan menentang tindak-tanduk yang mengancam penyatuan serta kestabilan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perpaduan dan keharmonian adalah asas paling kukuh untuk mencapai pertumbuhan ekonomi mampan, kestabilan politik dan kemakmuran sosial.

“Kami tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum, etnik atau agama dalam melaksanakan dasar kerana kami sedar bahawa Selangor tempat pelbagai kaum dan budaya.

“Oleh itu, sebarang tindakan yang boleh menggugat perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan perlu dielakkan sekiranya kita mahu melaksanakan agenda pembangunan dengan mampan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan sambutan Hari Natal dan rumah terbuka peringkat Selangor di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini malam tadi.

Hadir sama isteri kepada Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad, EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian selain dimeriahkan lebih 3,000 penduduk.

Majlis turut diserikan dengan persembahan menarik daripada pemain biola Dr Joanne Yeoh dan kumpulan koir FGT Church Choir, GA611 Church, Roman Catholic Church dan Kaya Band.


Pengarang :