Data Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Barah (IARC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2021 mengesan seramai 128,018 orang menghidap pelbagai jenis barah dalam tempoh lima tahun di negara ini. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Gejala tidak kelihatan, jangan ambil mudah barah hidung

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Barah Nasofarinks (kanser pangkal hidung) atau Nasopharyngeal Carcinoma (NPC) ialah sejenis barah hidung berbahaya dan cenderung untuk menjadi lebih teruk (malignan).

Dengan merujuk kepada Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia kedua (2012-2016) diterbitkan pada tahun 2019, NPC adalah barah kelima paling lazim di Malaysia.

Menurut data berkenaan, pada tempoh 2012 hingga 2016, rakyat Malaysia yang menderita NPC terdiri daripada lelaki 5.2 peratus dan perempuan 1.9 peratus.

Garam pengawet makanan punca NPC?

Menurut Dr S Ram Kumar Sharma, Perunding Pakar Bedah Telinga, Hidung, Tekak, Kepala dan Leher di Mahkota Medical Centre Melaka, terdapat banyak faktor risiko untuk NPC seperti juga barah lain yang boleh digolongkan kepada faktor tidak boleh diubah suai dan faktor boleh diubah suai.

“Untuk faktor tidak boleh diubah suai, ia selalu menjangkiti mereka yang berusia lebih daripada 50 tahun terutamanya kaum lelaki dan juga mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap NPC.

“Mengenai faktor boleh diubah suai, merokok dan pengambilan alkohol adalah faktor sinergi, dalam mana-mana perkembangan barah, begitu juga dengan NPC. Sebarang bentuk kimia dan zarah habuk kayu yang disedut boleh juga menyebabkan karsinogen di dalam struktur hidung. Ada juga yang dikaitkan dengan Epstein-Barr Virus sebagai punca,” beliau memberitahu Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut beliau, diet pengambilan makanan yang banyak mengandungi kimia pengawet seperti garam juga dikaitkan dengan NPC.

“Orang ramai perlu sedar bahawa bahan pengawet boleh bertukar menjadi agen barah (karsinogen). Contoh bahan pengawet tiruan termasuk nitrat, sulfit, sorbat, paraben dan formaldehid.

“Nitrosamin, sejenis sebatian karsinogenik yang bahaya, mengandungi nitrit dan nitrat, bukan sahaja menyebabkan barah tetapi juga boleh mengakibatkan keadaan yang memudaratkan kesihatan seperti alergi hipersensitiviti dan kerosakan saraf. Oleh yang demikian, amat penting untuk kita semua tahu kandungan makanan yang kita makan,” katanya.

Gejala tidak kelihatan

Data yang dikongsi Dr S Ram ini mungkin mencemaskan iaitu hampir 50 hingga 60 peratus pesakit yang didiagnos NPC sudah berada pada peringkat akhir.

Beliau menjelaskan keadaan itu berlaku kerana tempat berlakunya NPC bukan mudah dilihat oleh pesakit. Ianya di belakang hidung di Nasofarinks (ruang di persimpangan antara hidung dan mulut).

“Tempat berkenaan mempunyai struktur penting (tulang tengkorak, pelbagai saraf, otak, telinga dan mata) dan barah mudah merebak ke kawasan yang kritikal itu.

“Mengelilingi kawasan hidung, kepala dan leher, terdapat banyak kumpulan kelenjar limfa yang bertindak sebagai ‘penjaga’sekiranya berlaku sebarang jangkitan atau barah. Jangkitan yang berlaku di NPC akan merangsang nod (nodes) leher untuk membesar. Jika ini berlaku, pesakit akan datang dengan sebelah bahagian leher membengkak tetapi tidak terasa sakit. Sehingga 70 peratus gejala NPC melibatkan keadaan ini, ” katanya.

Bagaimanapun beliau menambah, pada peringkat awal NPC, keadaan bengkak di leher mungkin ada kaitan atau tidak mempunyai kaitan dengan apa yang berlaku di hidung, telinga, muka atau kepala.

“Ini termasuk hidung yang mana sebelah bahagiannya tersumbat yang mungkin juga terdapat pelepasan dengan kesan darah atau tidak. Untuk telinga, pesakit akan mengalami sebelah telinga kurang pendengaran atau bunyi dengung. Untuk muka dan kepala, antara gejala yang dialami termasuk pening, penglihatan berganda dan kebas muka. Untuk peringkat akhir, barah mungkin merebak ke tulang yang bersebelahan, hati dan paru-paru,,” jelasnya.

Analisis faktor risiko

Apabila menganalisa faktor risiko pesakit yang mempunyai NPC, perkara yang perlu diberi perhatian ialah apabila membuat tafsiran gejala.

Ini kerana bukan semua orang yang mengambil makanan yang diawet atau terdedah kepada asap atau sesuatu yang berbau, boleh mendapat NPC.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kawasan di mana bermulanya NPC mungkin tersembunyi. Sebab itulah ia tidak mencetuskan sebarang gejala kerana gejala leher bengkak, telinga tersumbat/pendengaran semakin berkurangan dan muka yang terasa kebas, biasanya tidak diperiksa dengan lebih lanjut. Ini mungkin kerana kurang kesedaran tentang gejala NPC, ” katanya.

Dr S Ram berkata, sekitar lapan hingga 10 peratus pesakit NPC tidak mempunyai faktor risiko yang dijelaskan sebelum ini.

“Dalam tempoh tiga bulan lepas, saya mendapat enam kes NPC dan semua pesakit adalah orang dewasa dengan umur antara 36 hingga 63 tahun.

“Endoskopi yang dibuat di klinik mengesahkan terdapat NPC dan seterusnya, biopsi dibuat, ” katanya, sambil menekankan, yang penting adalah untuk seseorang itu berjumpa doktor seawal mungkin sekiranya mengalami sebarang gejala yang ada kaitan dengan NPC.

Mengenai kadar kelangsungan hidup untuk pesakit NPC, beliau berkata ianya bergantung kepada beberapa faktor penting.

“Ini termasuk tahap ketumbuhan, tempat ketumbuhan berada dan lokasi ia merebak dengan penglibatan struktur penting. Kami mengambil kira umur pesakit, keadaan perubatan pesakit atau kesihatan umum untuk memastikan keberkesanan rawatan, antaranya radioterapi, kemoterapi, pembedahan dan/atau kombinasi ketiga-tiganya sekali,” katanya menambah, pesakit juga perlu berjumpa pakar onkologi klinikal dan pemeriksaan lanjutan.

Dua pilihan rawatan

Sekiranya indeks yang menunjukkan seseorang itu disyak menghidapi NPC adalah tinggi, Dr S Ram berkata individu itu perlu menjalani pemeriksaan fizikal yang lengkap dan doktor juga akan meneliti sejarah keluarga sebelum membuat diagnosis.

Menurut beliau, siasatan selanjutnya adalah termasuk biopsi tisu untuk mengesahkan diagonis dan ianya akan dilengkapi dengan Imbasan Tomografi Berkomputer (CT) untuk kawasan Kepala dan Leher.

Beliau menjelaskan, terdapat ketika Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dapat membantu dengan pantas tisu/organ yang terlibat.

“Imbasan CT seluruh badan dapat mengesahkan seteruk mana barah sudah merebak. Di samping itu, Tomografi Emisi Positron CT (FDG PET-CT) didapati mempunyai hasil yang lebih berbanding kaedah rawatan lain.

“Sebaik sahaja diagnosis NPC disahkan, pesakit perlu dimaklumkan tentang penyakit yang beliau hidapi. Pasukan perubatan akan mengkaji secara terperinci semua hasil pemeriksaan sebelum memaklumkan hasil berkenaan kepada pesakit, sama ada NPC boleh dirawat (kuratif) atau memerlukan penjagaan perubatan khusus (paliatif), ” katanya.

Mengenai rawatan kuratif NPC, Dr S Ram menjelaskan, lazimnya ia terdiri daripada pendekatan Rawatan Tunggal atau pendekatan Pelbagai Rawatan.

“Rawatan Tunggal bermakna hanya rawatan Radioterapi atau kombinasi dengan Kemoterapi. Pendekatan Pelbagai Rawatan pula mungkin melibatkan juga pembedahan untuk kawasan utama (pembuangan endoskopik ketumbuhan di Nasofarinks) atau pembedahan leher dengan atau tanpa pilihan kemoterapi.

“Oleh yang demikian, perbincangan kerja melibatkan pelbagai disiplin tentang pelan rawatan, sebaik sahaja diagnosis NPC dicapai adalah amat penting untuk pesakit. Sebagai rumusan, sekiranya NPC dikesan awal, ia dapat dirawat dengan jayanya. Tolong jumpa doktor dengan kadar segera sekiranya anda mempunyai gejala NPC yang membimbangkan, ” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :