Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis bersama komuniti penduduk Desa Pendidik di Keramat Permai, Ampang Jaya pada 12 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Gelanggang permainan Keramat Permai dinaik taraf demi keselesaan penduduk

GOMBAK, 12 DIS: Gelanggang permainan Desa Pendidik Keramat Permai AU1C, Hulu Kelang di sini bakal dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

Dato’ Menteri Besar berkata penaiktarafan membabitkan pemasangan bumbung dijangka menelan kos lebih RM250,000 melalui peruntukan Kerajaan Selangor dan ahli parlimen.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyedari keperluan menambah baik kemudahan itu supaya boleh digunakan ramai masyarakat terutama anak muda tanpa perlu risau keadaan cuaca.

“Ini (naik taraf) adalah permohonan mereka kerana digunakan cukup ramai, jadi saya rasa ada keperluan untuk buat bumbung di gelanggang tersebut.

“Saya lihat manfaatnya kalau gelanggang ini berbumbung ia boleh digunakan pada waktu hujan atau panas selain penganjuran acara lain seperti perbincangan bersama komuniti, latihan silat dan kompang,” katanya.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Pendidik Keramat Permai AU1C, Dato’ Mohd Razi Yaacob

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk kawasan itu hari ini. Turut serta Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dato’ Mohd Razi Yaacob.

Mohd Razi ketika ditemui menghargai dan berterima kasih kepada ahli parlimen Gombak itu kerana mempertimbang permohonan untuk menaik taraf gelanggang berkenaan.

“Sebenarnya padang permainan ini sudah cantik selepas dinaik taraf cuma ia tiada bumbung. Pihak kami mengajukan permohonan kepada beliau (Amirudin) dan Alhamdulillah dapat maklum balas positif.

“Setiap hari gelanggang ini digunakan penduduk untuk bermain badminton dan bola tampar kecuali hari hujan. Malah sebulan sekali diadakan aktiviti senamrobik yang disertai ratusan masyarakat termasuk warga emas,” katanya.


Pengarang :