Operasi bersepadu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang menjalankan tindakan penguatkuasaan penutupan tapak pembuangan sampah tanpa kebenaran di Twin Palm Sungai Long pada 20 Disember 2022. Foto Facebook MPKj
PBTSELANGOR

Gempur lokasi pembuangan sampah haram, MPKj sita 126 lori

SHAH ALAM, 23 DIS: Sebanyak 126 lori disita Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam operasi gempur lokasi pembuangan sampah haram dari Januari hingga 19 Disember lalu, kata yang dipertuanya.

Najmuddin Jemain berkata semua lori itu disita kerana melakukan kesalahan pencemaran alam sekitar di bawah Undang-undang Kecil- Pemungutan, Pembuangan, dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007.

“Operasi ini dijalankan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan berikutan terdapat individu yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di lokasi tidak dibenarkan.

“Bagi bulan ini sahaja setakat Disember, tiga lori telah disita dan dikompaun. Antara lokasi sitaan ialah di Kampung Simpang Balak, Desa Budiman, Jalan Kuari Sungai Long, Rinching Hulu, Bukit Ampang dan Kolam Air Panas, Sungai Serai,” katanya pada Mesyuarat Majlis Bil 12/2022 MPKj hari ini.

Sepanjang Ogos lalu, MPKj mengeluarkan 29 kompaun dalam operasi sama serta menyita 27 lori kerana melakukan kesalahan pencemaran alam sekitar.

Tindakan itu dilakukan bagi menangani masalah tersebut sekali gus menguatkuasakan undang-undang ditetapkan.


Pengarang :