BUDAYARENCANA

Geneologi satira Maharaja Beruk

Oleh: A Muziru Idham

Saya tidak pasti apa alasannya, tetapi sayang sekali kumpulan cerpen Maharaja Beruk Dan Beruk-Beruk Lainnya karya Yahaya Ismail tenggelam daripada perbincangan massa dan sarjana. Walhal, gelora yang cerpen Maharaja Beruk cetuskan pernah sampai melariskan jualan 8,000 naskhah Dewan Sastera Jun 1988, dan Ketua Cawangan Majalah di DBP telah ditukarkan dalam masa 24 jam!

Apabila Yahaya Ismail memanjangkan lagi cerpen Maharaja Beruk menjadi himpunan beberapa buah cerpen lain, saya percaya bahawa cerpen-cerpen tersebut jikalau disiarkan di Dewan Sastera pada ketika itu, bukan saja Ketua Cawangan akan ditukarkan ke meja lain, bahkan bangunan DBP itu sendiri boleh runtuh terus! Saya titipkan tajuk-tajuk cerpen itu di sini untuk kalian nilaikan seradikal mana satira karangan Yahaya Ismail ini: Beruk Mat Yeh, Nyanyian Beruk, Mimpi Maharaja Beruk, Kisah Mek Beruk, Enam Beruk Bersidang, dan Maharaja Beruk. Kalian rasa?

Nama seorang Yahaya Ismail barangkali tidaklah sedenting nama Shahnon Ahmad sebagai penukang karya satira pada eranya. Tetapi saya percaya, sesudah Maharaja Beruk Dan Beruk-Beruk Lainnya dibaca, pastinya novel Shit tersudut sebentar di penjuru rak buku bergantikan kumpulan cerpen itu yang akan dicetak, disebar, dibaca, dan kemudiannya dibakar penguasa! Usah risau. Itulah kitaran sihat terbaik untuk sesebuah buku. Buku yang sekadar dibaca mungkin hanya akan berlegar sebagai subjek perbincangan di ruangan diskusi awam, tetapi buku yang membakar dan dibakar penguasa akan menjadikan hayatnya lebih panjang untuk hidup ampuh menerjang idea melawan zaman!

Kegilaan Maharaja Beruk terhadap kekuasaan di The Beruk Country itu adalah tabiat lazim penguasa. Membaca kumpulan cerpen Maharaja Beruk, pastinya lapisan kefahaman pertama adalah perihal kritikan terhadap sikap penguasa yang ingin kekal bertakhta dan bermain makar demi mempertahankan kekuasaanya. Tetapi, saya fikir, membacanya dari cerapan geneologi gagasan Michel Foucault bahkan lebih merangsang. Ahli falsafah Perancis itu menawarkan kaedah geneologi sebagai telaah sejarah kritis; sejarah ditawarkan dengan pembacaan beranalisis terhadap hubungan pengetahuan/kekuasaan (power/knowledge) sesebuah subjek yang mendenyutkan nadi dan nafasnya pada zaman ini. Foucault menolak pembacaan sejarah berbentuk presentism, sebaliknya tawarannya adalah untuk mempermasalahkan pergolakan sosial masa kini dengan menjejak dan mencerap proses hubungan kekuasaan (power relation) yang tidak menentu dan tidak berkesinambungan pada masa lampau bagi menggeledah makna baharu.

Andaikan kumpulan cerpen Maharaja Beruk Dan Beruk-Beruk Lainnya yang terbit pada tahun 1988 itu sebagai sebuah teks sejarah yang terhimpun dalam tubuh fiksyen. Andaian imaginatif itu saya fikir tidaklah juga salah untuk diterima, kerana tidak dapat tidak Yahaya Ismail menyusun cerita-cerita Maharaja Beruk itu terhasil daripada cerapannya terhadap pergolakan kekuasaan yang berlaku pada tahun 1988. Kehuru-haraan yang kita hadapi pada tahun 2022 ini telah Yahaya Ismail gambarkan dengan tajam sinisnya melalui persekitaran kelompok elit yang memanipulasi dan mendominasi segala sumber pengetahuan demi mempertahankan kekuasaan Maharaja Beruk. Sumber pengetahuan itu tersusun daripada aparatus kerajaan seperti media dan perbendaharaan negara, juga dalam bentuk keyakinan umum masyarakatnya terhadap nilai, norma, dan kepercayaan ghaib (baca: agama).

Maka, pengetahuan marhaen dikuasai menjadi dogmatisme yang terus mengagungkan kekuasaan Maharaja Beruk. Masyarakat dirisaukan dengan keruntuhan dan kebinasaan The Beruk Country andai Maharaja Beruk tidak lagi berkuasa. Di kala pilihan raya The Beruk Country menjelang tiba, maka ketakutan Maharaja Beruk dan para pengampunya semakin membara. Segala bentuk sailang dan tipu daya adalah halal di sisi Maharaja Beruk dan pembantu kanannya, Beruk Mat Yeh — tidak ubah seperti pilihan raya umum ke-15 (PRU 15) pada tahun 2022 yang bakal kita hadapi. Sejarah daripada sistem kekuasaan yang dibangunkan oleh Maharaja Beruk telah menyebabkan hubungan pengetahuan/kekuasaan itu menjadi sangat manipulatif dan dominatif sehingga kesan-kesan sistem sosial seperti kapitalisme, birokratisme dan pseudo-demokrasi yang kita hadapi hari ini adalah warisan Maharaja Beruk yang sukar terhakis. Kemuncak daripada semua itu, legitimasi kekuasaan disandarkan terhadap kepercayaan supranatural yang menjadi kepercayaan umum, supaya ia mudah dimanipulasi untuk meningkatkan kuasa kewibawaan. Kata Maharaja Beruk:

“Dalam mimpi aku itu Dewata Mulia Raya telah memberi perintah kepada aku menyuruh kalian semua memberi taat setia 1000% kepada aku. Jangan menentang aku. Ikut semua perintah aku. Putih kata aku, putihlah jadinya. Hitam kata aku, hitamlah jadinya….Dewata Mulia Raya juga berkata dalam mimpiku itu bahawa aku mesti meneruskan pimpinan parti kita sehingga aku kiok kelak. Beruk lain tak boleh mengambil tempat aku…Hanya aku seorang yang dapat mententeramkan suasana dan layak tinggal di sini.”

Dewata Mulia Raya dalam Beruk Country adalah manifestasi kekuasaan tunggal supranatural yang menjadi kepercayaan dan pegangan umum masyarakat beruk. Maharaja Beruk memanipulasi pengetahuan umum tersebut sebagai bentuk kekuasaan yang melonjakkan pengaruh dan wibawanya sebagai ilusi yang mengawal pemikiran mereka. Terasnya dapat kita cerap dalam suasana PRU-15 ini, di mana sebilangan politikus mula melaungkan tuhan dan agama demi meraih kepercayaan masyarakat. Pemanipulasian kekuasaan ontologikal yang melibatkan norma dan agama masyarakat adalah seksi dalam strategi politik untuk mendominasi kepercayaan dan kesetiaan para pengikutnya.

Ada satu perkara yang agak menarik, apabila buku itu memaparkan perulangan babak beruk-beruk bawahan menyanyikan lagu Berarak Bersama Maharaja Beruk demi menyatakan kesetiaan mereka kepada Maharaja Beruk. Terdetik pertanyaan: Bagaimanakah ritual nyanyian lagu yang memuja penguasa dapat membina kesetiaan dan kepercayaan? Dalam hal ini, andai kita selak sejarah Nazi di German, muzik adalah instrumen utama terhadap kebangkitan politik dan kebudayaan Nazi sebagai alat propaganda kepada kekuasaan kerajaannya. Jadi, nyanyian lagu Berarak Bersama Maharaja Beruk itu adalah manifestasi kekuasaan penguasa, di mana lirik dan lagu itu menjadi ritma yang diulang-ulang supaya pengaruhnya meresap ke dalam sanubari masyarakatnya. Perulangan adalah proses propaganda berkesan, apatah lagi kalau lagu itu dijadikan ritual kekuasaan kerana iramanya – seperti kata Plato – memberi sentuhan kepada jiwa dan spiritual. Kekuasaan sesebuah lagu – apatah lagi lagu propaganda – apabila diulang-ulang akan membentuk pengetahuan yang menguasai minda dan hati seseorang; di situlah caranya Maharaja Beruk mengawal masyarakatnya tanpa perlu melalui jalan kekerasan.

Menjelang PRU-15 ini, membaca Maharaja Beruk Dan Beruk-Beruk Lainnya adalah bacaan yang sangat merangsang. Satiranya menggigit tajam, berbisa, dan tepat pada waktunya. Masyarakat tahun 1988 pastinya maklum kenapa buku ini yang bermula daripada cerpen Maharaja Beruk ditulis. Tetapi, bacaan geneologi Foucault yang mendekonstruksi sejarah dan melihat kewujudan hubungan kekuasaan/pengetahuan dalam teks-teks sejarah – dengan menjungkirkan teks fiksyen ini sebagai kanun sejarah, dan meneliti pengaruh hubungan kekuasaan/pengetahuan dalam mengawal keputusan dan pilihan masyarakat – menjadikan satiranya sebagai bara yang menikam sejarah pada tahun 2022.


Pengarang :