Suasana sekitar ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 6 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Guru bawa 40 pelajar SMK Methodist, Banting lawat pesta buku negeri

SHAH ALAM, 8 DIS: Seramai 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist, Banting mengadakan lawatan ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 semalam.

Rombongan ke acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam dekat sini terdiri daripada pengawas pusat sumber dan Persatuan Murid Islam.

Guru bahasa Inggeris Najihah Nordin berkata pelajar teruja menyertai rombongan itu berikutan sudah lama pihak sekolah tidak mengadakan lawatan sedemikian sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

“Pihak kami dimaklumkan berhubung penganjuran SIBF sejak dua minggu lepas. Sejurus itu, kami buat persiapan dengan mencari peserta termasuk pengangkutan dan makanan.

Guru Bahasa Inggeris SMK Methodist Banting, Najihah Nordin di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 pada 7 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Program ini memang bagus, apatah lagi kebanyakan mereka pustakawan sekolah. Jadi, mereka perlu dibawa ke acara sebegini dan didedahkan dengan buku-buku,” katanya ketika ditemui.

Beliau juga memuji Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) atas kejayaan menganjurkan pesta buku yang bukan sahaja menghimpunkan pempamer tempatan malah antarabangsa.

“Cuma kalau boleh pelbagaikan lagi jenis buku memandangkan majoriti pelajar sekolah ini Cina dan India. Mereka tidak biasa dengan buku bahasa Melayu,” katanya menambah pelajar turut dibawa melawat Perpustakaan Raja Tun Uda semalam.

SIBF diadakan hasil kesinambungan Pesta Buku Selangor yang diadakan sejak 2006 dengan mengumpulkan pempamer luar negara seperti China, Singapura (membawa buku dari United Kingdom dan Amerika Syarikat) serta Indonesia.

Manakala tujuh felo didatangkan khas dari United Kingdom, Macedonia, Korea Selatan, Mesir dan Indonesia bagi menjayakan program Kandungan Kanak-Kanak Antarabangsa Selangor (SICC).


Pengarang :