Nurul Amira Suhaimi, 27, mendapatkan bekalan minyak masak berikutan kenaikan harga minyak masak botol lima kilogram (KG) ketika tinjauan di sebuah pasar raya Seksyen 9, Shah Alam pada 9 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Harga minyak masak 5kg kekal RM30.90 hingga 7 Januari

PUTRAJAYA, 1 DIS: Harga runcit maksimum minyak masak bagi tempoh 8 Disember 2022 hingga 7 Januari 2023 kekal pada RM6.90 sekilogram, RM13.30 bagi dua kilogram (kg), RM19.60 bagi tiga kg dan RM30.90 bagi lima kg.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof berkata penetapan harga itu berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia (CPO).

“Penetapan harga ini adalah hasil kerjasama daripada pihak industri minyak masak yang telah bersetuju untuk mengekalkan harga maksimum Disember 2022 sama dengan November 2022 walaupun harga purata CPO sepanjang November mencatatkan peningkatan berbanding Oktober,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berkata KPDNHEP menyeru masyarakat pengguna terus berhemah dalam pembelian, mengutamakan yang perlu dan merancang setiap pembelian.

Pengguna juga digalakkan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan ketidakpatuhan undang-undang membabitkan harga runcit maksimum minyak masak sawit tulen di pasaran melalui WhatsApp ke 019-2794317 atau 019-8488000, portal e-aduan di https://eaduan.kpdnhep.gov.my , call centre 1-800-886-800, e-mel [email protected] , aplikasi Ez ADU KPDNHEP dan pusat arahan penguatkuasaan (ECC) di 03-88826088/6245.

– BERNAMA


Pengarang :