AGENDA NASIONAL

Harga runcit RON97 turun 10 sen, RON95 dan diesel kekal

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Harga runcit petrol RON97 turun 10 sen kepada RM3.75 seliter berbanding RM3.85 seliter manakala harga runcit petrol RON95 dan diesel kekal tidak berubah untuk minggu ini bermula esok hingga 14 Disember ini.

Kementerian Kewangan, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan harga siling RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter, walaupun harga pasaran kedua-dua produk itu melebihi harga siling semasa.

Harga runcit petrol RON97 diturunkan selaras dengan pergerakan harga pasaran semasa.

Penetapan harga itu dibuat berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :